Pagi ini jumlah mangsa banjir meningkat di negeri Johor apabila dilaporkan sebanyak 271 orang sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Jumlah terbaharu mangsa banjir itu meningkat berbanding 245 orang (72 keluarga) semalam dan rekod terbaharu menunjukkan sebanyak 79 keluarga sudah dipindahkan ke PPS.
Menurut laporan, setakat 8 pagi tadi, sebanyak empat PPS sudah dibuka di tiga daerah di Johor.
Kulai kekal sebagai daerah paling terjejas dengan mencatatkan 159 mangsa banjir (41 keluarga), meningkat berbanding 150 orang (38 keluarga) malam tadi. Mereka ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu.
Selain itu, mangsa banjir di Kluang yang berlindung di dua PPS turut meningkat. Seramai 33 orang (15 keluarga) berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Renggam, manakala 27 lagi (tujuh keluarga) di PPS SK Sungai Linau.
Di Pontian pula, PPS SK Melayu Raya kekal dengan 52 mangsa banjir (16 keluarga).