
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Menteri Kewangan berdepan tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Wang AS$30 juta dipindahkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak adalah daripada daripada sebuah syarikat samaran, Blackstone Asia Real Estate Partners, kata seorang saksi.
Seorang Penganalisis Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Adam Ariff Mohd Roslan berkata penemuan tersebut hasil pemeriksaan penyata bank dan mendapati akaun 694 AmPrivate Banking-MR Najib di AmBank menerima wang daripada Blackstone pada akhir 2012.
Blackstone ialah sebuah syarikat yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho (Jho Low) melalui rakan sekutunya Tan Kim Loong, juga dikenali sebagai Eric Tan.
Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-47 berkata, akaun itu turut menerima wang berjumlah AS$5 juta pada 30 Oktober 2012 dan AS$25 juta lagi dipindahkan pada 19 November tahun sama.
“Standard Chartered Bank milik Blackstone merekodkan, akaun yang menerima dana itu telah menggunakan nama ‘AmPrivate Banking – MR’.
“Pemeriksaan ke atas penyata bank dan rekod bertarikh 31 Oktober 2012 dan 20 November 2012 untuk akaun atas nama ‘AmPrivate Banking – MR dan/atau Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak’ yang disediakan oleh AmIslamic pula, sepadan dengan pemindahan itu,” katanya.
Bukan itu sahaja, saksi terbabit berkata, terdapat aliran masuk lebih RM60.6 juta ke akaun peribadi AmIslamic Najib.
Beliau berkata, ia berasal daripada terbitan Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).
Untuk rekod, TIA ditukar nama kepada 1MDB melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD) pada pada September 2009 lalu.
Katanya lagi, akaun itu menerima kemasukan wang pada 23 Februari dan 13 Jun 2011 itu.
Katanya, ia diterima dari akaun Bank Riyad, juga berasal daripada pinjaman bertempoh bersindiket RM2.5 bilion oleh 1MDB.
Adam Ariff berkata, aliran wang tersebut diperoleh pada 23 Februari dan 13 Jun 2011 daripada akaun Bank Riyadh juga berasal daripada pinjaman bertempoh bersindiket RM2.5 bilion oleh 1MDB.
“Akaun Bank Riyad itu memindahkan dana ke akaun Najib dalam tempoh satu hingga tiga hari selepas Good Star memindahkan dana ke akaunnya,” katanya selepas dirujuk dengan laporan jejak wang dalam akaun bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.