Akaun Najib buktikan UMNO, ahli terima wang haram 1MDB

March 29, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa UMNO dan ahli politiknya menerima wang perolehan haram daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah dibuktikan berdasarkan jejak kewangan akaun bank Datuk Seri Najib Razak.

Memetik laporan Bernama, Timbalan Pendakwa Raya Liew Horng Bin berkata, ini berdasarkan akaun Ambank Najib bernombor 9694 dan 1880, serta akaun AmIslamic bernombor 1906 dan 1898.

“UMNO dan ahli politik UMNO menerima wang perolehan haram yang boleh dikesan berasal daripada 1MDB dan mereka merupakan penerima utama daripada penyelewengan ke atas 1MDB. Namun, apabila puluhan juta ringgit dibayar, sama ada menerusi cek atau secara debit, daripada akaun peribadi Najib kepada UMNO dan sekutunya, pastinya ada yang tidak kena.

“Tidak mungkin Datuk Seri Najib mempunyai sumber yang tidak kehabisan untuk menampung pembiayaan ‘lohong hitam’. Pasti ada yang bertanya ‘dari mana Najib peroleh wang beliau?’,” katanya sambil menambah, Najib memegang beberapa jawatan – iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Presiden UMNO dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB. yang mempunyai kuasa mutlak ke atas sebarang keputusan perniagaan 1MDB.

Liew berkata demikian pada pendengaran permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, di hadapan hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.

UMNO dan Najib merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Liew juga berhujah memandangkan telah ditunjukkan bahawa UMNO dan sekutunya adalah penerima wang yang diselewengkan daripada 1MDB, berdasarkan rekod perbankan yang tidak boleh dipertikaikan, adalah tidak munasabah untuk mencadangkan bahawa UMNO tidak mengetahui sumber haram wang yang diterima.

“Kelakuan UMNO dan sekutunya menganjurkan kes tipikal sengaja membutakan mata. Memang jelas UMNO tidak berbuat apa-apa untuk menghalang penggunaan wang yang diperoleh daripada 1MDB itu. Sebaliknya, UMNO dengan bebas dan secara diam-diam menyetujui perbelanjaan wang yang diterima daripada 1MDB menerusi akaun Ambank Najib bernombor 9694 dan 1880, serta akaun AmIslamic 1906 dan 1898.

“Walau macam mana kita tengok sekalipun, tidak boleh dinafikan bahawa UMNO terlibat sama dalam perkara ini. Penglibatan mereka bersekongkol dalam pengubahan wang haram yang boleh dikesan berasal daripada 1MDB melangkaui keraguan,” katanya.

“Atas sebab itu, mahkamah tidak harus bersetuju dengan hujah UMNO bahawa ia tidak peduli jika wang yang dirampas itu boleh dijejaki berasal daripada dana yang diselewengkan daripada 1MDB, atau, mana-mana salah laku, sedangkan banyak bukti yang jelas menunjukkannya,” kata Liew, menambah dakwaan Najib bahawa wang tunai yang disita merupakan sumbangan politik kepunyaan UMNO bercanggah dengan bukti daripada UMNO.

Liew berkata, bekas perdana menteri itu juga gagal mendedahkan identiti penyumbang derma tersebut bagi menyokong dakwaannya.

“Jawapan dolak-dalik yang diberikan oleh Najib dalam pernyataan saksinya, laporan polis beliau serta afidavit yang difailkan bagi prosiding ini berkaitan wang tunai yang dirampas, hanya menyimpulkan bahawa wang tersebut adalah hasil daripada kegiatan haram,” katanya.

Sementara itu, Liew berkata ketika serbuan dijalankan, writ penyitaan tidak hanya diserahkan kepada Najib tetapi juga kepada Obyu selaku pemilik hartanah di mana barangan itu dirampas, iaitu di Pavilion Residences.

“Ketika peringkat siasatan, Najib mengatakan bahawa wang yang disita merupakan sumbangan politik yang beliau pegang atas amanah sebagai presiden UMNO ketika itu. Namun dakwaan beliau bercanggah dengan kenyataan pucuk pimpinan tertinggi UMNO. Semua pemegang jawatan pimpinan tertinggi UMNO yang ditemu bual semasa siasatan menafikan wang tunai itu milik UMNO.

“Sebaliknya, pemilik Pavilion Residences, Obyu Holdings mendedahkan barangan yang dirampas tersebut kepunyaan Datuk Seri Najib dan keluarganya. Dalam keadaan sebegitu, tidak ada cara untuk mengetahui siapa pemilik wang tunai yang dirampas itu,” katanya.

Hakim menetapkan 20 Mei ini untuk menyampaikan keputusannya.

Berita berkaitan
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Rafizi balas kecaman Puad, ‘dia saja seorang bising’
March 27, 2024· Politik
Perbicaraan 1MDB: Saksi beritahu perbincangan atas kapal tiada wakil pegawai kerajaan
January 5, 2024· Isu semasa
Popular
BNM dijangka naikkan OPR 25 mata asas lagi bulan depan
October 21, 2022
Kenali pereka kasut, Jimmy Choo
November 6, 2021
Harga roti Gardenia naik 1 Disember
November 25, 2021
Banjir: Tiga beradik maut kena renjatan elektrik di Kelantan
December 19, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok