4 negeri masih berdepan situasi buruk banjir, Terengganu pulih

January 3, 2022 · Isu semasa

Situasi banjir di seluruh negara semakin buruk apabila jumlah mangsa di empat negeri iaitu Pahang, Johor, Melaka dan Sabah yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) tengah hari ini terus meningkat.

Bagaimanapun banjir gelombang ketiga di Terengganu menunjukkan tanda pulih sepenuhnya tengah hari ini, manakala jumlah mangsa di Selangor dan Negeri Sembilan kekal tidak berubah, menurut laporan Bernama.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan seramai 2,252 mangsa berada di 54 pusat pemindahan tengah hari ini berbanding 2,188 orang di 51 PPS pagi tadi.

Lapan jalan masih ditutup antaranya Sungai Lembing di Kuantan, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Ulu Dong (Raub) dan Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut).

Setakat 11 pagi tadi, paras air di enam stesen berada pada tahap bahaya iaitu Sungai Pukin di Rompin, Paya Gintong (Jerantut), Jambatan Chegar Perah (Lipis), Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang (Bera), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Pahang di Kuala Krau (Temerloh).

Di JOHOR, jumlah mangsa terus meningkat kepada 4,062 mangsa setakat 12 tengah hari ini berbanding 3,841 orang pagi tadi, dengan Batu Pahat menjadi daerah terbaharu terjejas banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata seramai 42 mangsa terjejas banjir di Batu Pahat dan kini ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Haji Kamisan.

“Selain itu, terdapat pertambahan mangsa di Tangkak, Kota Tinggi, Kluang dan Segamat, dengan jumlah kesemua PPS dibuka di tujuh daerah kini 64 yang menempatkan 1,064 keluarga.

“Segamat terus mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 3,284 orang, Mersing (371 orang), Kota Tinggi (174 orang), Tangkak (123), Kluang (66), Batu Pahat (42) manakala Johor Bahru dua mangsa,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi banjir di daerah Mersing dan Kluang, mendapati air mulai surut dan ada penduduk sudah mula pulang ke kediaman masing-masing.

Di SABAH jumlah mangsa terus meningkat kepada 3,398 daripada 1,236 keluarga berbanding 2,435 daripada 874 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan sebanyak 27 PPS telah dibuka di enam daerah di negeri ini sejak Jumaat lepas.

Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa paling ramai berada di PPS iaitu seramai 2,749 orang daripada 1,051 keluarga ditempatkan di 13 PPS, diikuti Pitas seramai 234 mangsa daripada 94 keluarga di empat PPS dan Sandakan (192 mangsa, 41 keluarga) dua PPS.

Daerah lain termasuk Daerah Kecil Paitan (102 mangsa, 24 keluarga) di tiga PPS, Telupid 84 mangsa daripada 16 keluarga di tiga PPS dan Beluran 41 mangsa, 11 keluarga berada di dua PPS.

Di MELAKA pula, jumlah mangsa meningkat kepada 2,555 mangsa daripada 659 keluarga pada tengah hari ini berbanding 2,537 mangsa daripada 656 keluarga pada pukul 8 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan sembilan kawasan di Jasin.

“Seramai 1,017 mangsa daripada 270 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Alor Gajah, 1,402 mangsa daripada 357 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Melaka Tengah serta 136 mangsa daripada 32 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Jasin,” katanya.

Di SELANGOR dan NEGERI SEMBILAN pula, jumlah mangsa tidak berubah tengah hari ini.

Sejumlah 22 PPS masih dibuka di Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 2,040 individu daripada 558 keluarga setakat 12.50 tengah hari ini.

Sementara di Selangor, mangsa banjir kekal 40 orang melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh dalam kenyataan berkata hasil pemantauan yang dilakukan berkenaan situasi terkini banjir kilat di Kuala Langat mendapati hujan mulai reda dan air semakin surut.

Polis Daerah Kuala Langat telah mengaktifkan bilik gerakan banjir dan pusat kawalan tempat kejadian bagi menyelaraskan operasi menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir bersama agensi-agensi berkaitan.

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia memaklumkan setakat 11 pagi tadi, aras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat berada pada aras bahaya dengan tren menurun.

Berita berkaitan
278 mangsa banjir di tiga negeri masih ditempatkan di PPS
January 17, 2024· Isu semasa
Banjir Kelantan: Penduduk di Kuala Krai terputus hubungan, jalan tenggelam
December 27, 2023· Isu semasa
Banjir: Kelantan dan Perak catat peningkatan mangsa dipindahkan
December 17, 2023· Isu semasa
PRK Kemaman: Peratusan keluar mengundi setakat 4 petang sebanyak 60 peratus
December 2, 2023· Isu semasa
Popular
Harga roti Gardenia naik 1 Disember
November 25, 2021
Selesaikan isu harga makanan di kantin, jangan ikut formula Rafizi
January 9, 2023
Pelajar sekolah balik cuti raya Cina tak dibenar pulang ke asrama
February 5, 2022
Kilang pemasangan Porsche pertama Malaysia dilancar di Kedah
March 28, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok