Sasaran pemberian vaksinasi 200,000 ribu harian yang berjaya dicapai adalah hasil kerja keras petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk rakyat yang memberikan kerjasama bagi memastikan langkah untuk mencapai sasaran imuniti berkelompok yang disasarkan kerajaan bakal menjadi kenyataan.
“Alhamdulillah, jumlah pemberian dos harian vaksin Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus menunjukkan peningkatan dengan 215,876 dos diberi kepada penerima semalam, rekod tertinggi sejak program ini dimulakan pada 24 Februari lalu.
“Catatan rekod tertinggi kadar pemberian vaksin harian ini adalah hasil kerjasama yang diberikan seluruh lapisan masyarakat yang layak menerima vaksin di samping kerja keras serta komitmen petugas kesihatan, sukarelawan dan anggota barisan hadapan lain yang terlibat secara langsung dalam program ini.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Muhyiddin meninjau pelaksanaan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang dijalankan di kawasan perindustrian di Ampang hari ini.
Turut hadir sama Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata langkah pelaksanaan PIKAS akan dapat membantu penularan Covid-19 yang berlaku di tempat kerja khususnya melibatkan sektor industri.
“Pelaksanaan secara serentak PIKAS di Selangor, Pulau Pinang dan Johor hari ini yang memberi tumpuan kepada subsektor pembuatan kritikal merupakan antara langkah kawalan wabak di tempat kerja dan saya yakin, ia akan membantu usaha Kerajaan mencapai imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat menjelang akhir tahun ini.
“PIKAS merupakan inisiatif yang amat penting dalam usaha melindungi pekerja daripada risiko jangkitan COVID-19 kerana keselamatan mereka dapat memastikan ekonomi negara kembali rancak dan terus berdaya tahan,” katanya lagi.
Beliau juga berkata inisiatif PIKAS diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan semalam berjalan seperti yang direncanakan.
“Saya harap inisiatif yang digerakkan ini juga mampu mengurangkan kadar jangkitan virus ini dalam kalangan pekerja yang sehingga kini masih menjadi antara penyumbang tertinggi kes positif harian COVID-19 di dalam negara.
“Kerjasama daripada semua majikan adalah amat dituntut dalam menjayakan program PIKAS sekaligus membantu menentukan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan semalam dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya lagi.