
Badrul Hisham Shaharin.
Perhimpunan aman pada 16 September tetap akan diteruskan walaupun kerajaan campuran sedang membuat pelbagai sekatan untuk menghalangnya, kata Badrul Hisham Shaharin.
Badrul Hisham atau dikenali Chegu Bard yang juga Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia menyifatkan langkah kerajaan campuran yang cuba menyekat himpunan pada hujung minggu ini sebagai satu kemunafikan dan membidas salah guna oleh kerajaan kerana merakam percakapan pihak penganjur.
“Apa yang berlaku ini satu bentuk kemunafikan selepas sekian lama berjuang untuk kebebasan bersuara dan berhimpun tetapi hari ini mereka (polis) panggil kami.
“‘Selamatkan Malaysia’ akan menjadi slogan himpunan pada Sabtu ini kerana keadaan di Malaysia hari ini sangat tidak kondusif dari segi harga barang sehingga ke (isu) integriti,” katanya dipetik laporan BH.
Badrul Hisham terdahulu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham yang dirakam percakapan berhubung perhimpunan berkenaan.
Mengulas lanjut Chegu Bard berkata, himpunan itu akan dijalankan secara aman damai di satu lokasi di tengah-tengah ibu kota yang akan diumumkan selewat-lewatnya esok.
“Kita jemput rakyat sama-sama selamatkan negara, program 16 September ini pastikan akan berlangsung bagaimanapun faktor keselamatan menjadi isu utama.
“Untuk selamatkan negara tak kan kita nak timbulkan huru-hara pula jadi esok akan ada pengumuman besar berhubung himpunan itu,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Ahmad Fadhli memberitahu Dewan Rakyat bahawa himpunan yang dirancang pada sambutan Hari Malaysia, 16 September ini tidak akan ‘menggoncangkan’ kerajaan.
Sebelum ini, himpunan itu dijangka bakal dihadiri 10,000 peserta mungkin berhadapan tindakan undang-undang berikutan penganjur dikatakan tidak membuat permohonan untuk berhimpun.
Enam laporan polis diterima berhubung penganjuran ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ yang dijadualkan berlangsung di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di sini, Sabtu ini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan sudah merakam percakapan individu berkenaan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komisioner dan Multimedia 1998,” katanya.