
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berharap beliau akan dikekalkan menerajui kerajaan negeri untuk sepenggal lagi selepas pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Namun beliau akur dengan sebarang keputusan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, sebagai ahli parti, dia akan mematuhi strategi yang dirancang parti untuk Selangor pada pilihan raya negeri akan datang kerana ia adalah demi kepentingan semua.
“Kalau ditanya secara peribadi, tetapi selaku ahli parti kita kena patuh dengan beberapa strategi, perancangan yang bkan keputusan saya sendiri.
“Kalau orang tanya pendirian saya, saya lebih suka untuk kekal. Tetapi sudah pasti parti, pimpinan perlu buat keputusan dan boleh melakukan perbincangan baik demi kebaikan semua,” katanya pada sidang media di Bestari Jaya, hari ini.
Amirudin juga ditanya sama ada dirinya akan kekal sebagai ‘poster boy’ PH untuk Selangor pada pilihan raya negeri nanti.
“Poster boy ditentukan oleh parti. Tetapi bukan masalah poster boy, saya rasa di Selangor kita nak lengkapkan kesemuanya iaitu polisi, dasar kejayaan dan saya percaya poster boy bukan segala-galanya.
“Yang penting apakah kita berjaya sampaikan dan mampu laksanakan,” katanya.
Amirudin juga menyatakan kesediannya berdepan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekiranya bekas menteri besar Selangor itu mahu mencabarnya semula.
“Terpulang kepada apa sahaja strategi yang dia mahu gunakan tetapi apa pun, kita perlu bersedia untuk sebarang situasi dan cabaran,” katanya.