
Pilihan raya di enam negeri bakal diadakan tidak lama lagi iaitu antara Jun dan Julai 2023.
Ketua Pergerakan Pemuda PKR, Adam Adli Abdul Halim mengakui mereka berdepan cabaran lebih kritikal dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadual pertengahan tahun ini.
Dalam ucapan penggulungan pada kongres khas PKR di Shah Alam, hari ini (Satu, 18 Mac 2023) beliau berkata, ini kerana pengundi tidak hanya akan menilai calon semata-mata tetapi juga prestasi Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan Persekutuan kini diketuai Pakatan Harapan (PH) disertai PKR; DAP; AMANAH; UMNO; MCA; MIC; Gabungan Rakyat Sabah (GRS); Gabungan Parti Sarawak (GPS); WARISAN; dan beberapa parti kecil lain, termasuk Bebas.
“Kita sekarang berhadapan dengan PRN di enam buah negeri yang sebenarnya kritikal.
“Hari ini kita bukan lagi pembangkang. Hari ini kita adalah kerajaan, penilaian yang dibuat ke atas kita bukan semata-mata ke atas siapa yang kita tampilkan.
“Tapi yang paling penting adalah soal membuktikan kita sebagai sebuah kerajaan yang mampu menjaga kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
“Pimpinan negara bukan Anwar sahaja, ia adalah tanggungjawab semua kita.
“Kita harus akui PRN yang akan datang, kita masih perlu membaiki banyak perkara dan perlu memberi perhatian kepada keluh kesah yang banyak disuarakan oleh akar umbi.
“Kita tidak lagi boleh bekerja secara bersendirian. Kita perlu bekerja secara kumpulan melibatkan semua orang,” katanya menurut Mkini.
Enam negeri – Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah Perikatan Nasional melalui PAS; dan Selangor, Negeri Sembilan (PH-PKR) serta Pulau Pinang (PH-DAP) – dijadual mengadakan PRN, pertengahan tahun ini.
PH yang dikuasai lebih ramai wakil rakyat DAP, akan bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi gabungan Perikatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan.