
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Pendedahan dibuat seorang Menteri kerajaan campuran berhubung usaha dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berbincang untuk mengeluarkan rakyat Palestine daripada negara mereka dibidas Pemuda PAS.
Pemuda PAS Pahang mempersoalkan kenyataan dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam Dewan Rakyat baru-baru ini mengenai langkah Anwar ke luar negara membincangkan langkah untuk membawa keluar rakyat Palestine.
“Bary-baru ini tular satu video jawapan Menteri KDN di Dewan Rakyat, yang mana Menteri KDN ada mengatakan yang Perdana Menteri ke-10 (PMX) ke luar negara berbincang dengan beberapa ketua negara untuk membawa keluar rakyat Palestin daripada negara mereka.
“Bagi pihak Pemuda PAS Pahang kami agak kecewa dan terkilan dengan apa yang dilontarkan oleh seorang menteri yang beragama Islam seolah-olah gagal memahami isu pokok kenapa kita semua mengecam tindakan Israel Laknatullah dan bersolidariti bersama rakyat Palestin,” kata ketua penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar CA (M) dalam satu kenyataan.
Ujarnya, menteri tersebut gagal memahami isu sebenar dan tidak sewajarnya menyokong langkah untuk membawa keluar rakyat Palestine daripada negara mereka.
“Di sini kami menuntut kepada menteri berkenaan agar memahami isu pokok dan menarik balik serta memohon maaf atas apa yang beliau katakan itu.
“Kata-kata beliau itu sebenarnya telah mengguris banyak pihak khususnya masyarakat Islam di Malaysia yang konsisten memberi sokongan terhadap perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel Laknatullah,” ujarnya lagi.
Ahmad Azlan juga menggesa supaya Saifuddin Nasution meminta maaf kerana ia mengguris saudara Islam yang sedang ditindas di bumi Palestine ketika ini.
“Kami Pemuda PAS Pahang sekali lagi dengan tegasnya meminta menteri berkenaan agar menarik balik dan memohon maaf atas lontaran kata-kata yang tidak sepatutnya diucapkan terhadap saudara kita di Palestin,” katanya lagi.