30 MP UMNO, BN setuju sokong Anwar bentuk kerajaan bersama DAP

November 24, 2022 · Politik

Persetujuan Ahli Parlimen (MP) UMNO dan Barisan Nasional (BN) membolehkan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP, menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baharu, selepas Yang di-Pertuan Agong melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) kesepuluh.

Semalam, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan memberi sokongan sebulat suara kepada PH dan DAP untuk mentadbir negara. UMNO mempunyai 27 Ahli Parlimen, manakala MCA (dua) dan MIC (satu).

Hari ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Anwar sebagai PM kesepuluh.

Sejak bertahun lalu, Anwar berusaha menjadi PM Malaysia. Dia pernah tersingkir bukan hanya oleh satu, tetapi dua sabitan kes liwat melibatkan kakitangannya sendiri, selain salah guna kuasa, termasuk campur tangan dalam siasatan polis.

Dia dipenjarakan selama bertahun-tahun di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad, yang juga pernah menjadi mentornya.

Pada tahun 1993 dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan dijangka akan menggantikan Dr Mahathir. Tetapi ketegangan berlaku selepas krisis kewangan Asia 1997, susulan pertelagahan mengenai ekonomi dan rasuah.

Pada September 1998, Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO sebelum mengetuai bantahan awam terhadap Dr Mahathir, sekali gus membentuk gerakan reformasi yang ditiru daripada kebangkitan rakyat Indonesia.

Anwar ditangkap dan akhirnya didakwa atas tuduhan liwat serta rasuah. Dia kemudian dipenjarakan selama enam tahun kerana rasuah. Setahun kemudian dia dijatuhi hukuman sembilan tahun kerana liwat.

Pada akhir 2004, setahun selepas Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri, Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan liwat dan membebaskan Anwar dari penjara.

Tetapi dakwaan liwat II sekali lagi dibuat terhadap Anwar pada 2008, dalam apa yang dikatakannya sebagai satu lagi percubaan kerajaan untuk mengetepikan beliau.

Mahkamah Tinggi akhirnya membebaskan Anwar daripada tuduhan pada Januari 2012, dengan alasan kekurangan bukti.

Setelah Pakatan Harapan membentuk kerajaan Pusat pada 2018, Anwar dibebaskan dengan pengampunan diraja. Akibat daripada pengampunan ini segala rekod kesalahan jenayah Anwar Ibrahim berkaitan kes liwat II di hapuskan.

Kronologi kes liwat Anwar

2008

28 Jun: Bekas pembantu Anwar, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa dia diliwat di sebuah kondominium di Damansara. Laporan itu dibuat dua hari selepas kejadian itu didakwa berlaku.

30 Jun: Anwar, 60, memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Saiful kerana membuat laporan polis terhadapnya kerana meliwat dan penasihat PKR itu mendakwa kandungan laporan berkenaan adalah tidak benar dan berniat jahat.

7 Ogos: Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan meliwat Mohamad Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Beliau dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan disebat jika sabit kesalahan.

Hakim SM Komathy Suppiah membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000, tanpa penjamin sementara menunggu keputusan perbicaraan kes itu.

7 Nov: Hakim Mahkamah Sesyen SM Komathy Suppiah memutuskan supaya kes liwat Anwar dibicarakan di Mahkamah Sesyen selepas mendapati sijil untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi, yang ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.

Ketika menolak permohonan pendakwaan (supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi), Komathy berkata sijil itu bercanggah dengan jangkaan perundangan Anwar bahawa Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes itu.

2009

5 Mac : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kes itu perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi, bukan Mahkamah Sesyen. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu berikutan permohonan pihak pendakwaan agar keputusan Mahkamah Sesyen mengekalkan kes itu di Mahkamah Sesyen dikaji semula.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen SM Komathy Suppiah terkhilaf dalam memutuskan bahawa sijil pemindahan kes itu, yang ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.

6 Mac: Anwar memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya kes liwatnya didengar di Mahkamah Tinggi.
10 Mac: Mahkamah Tinggi menetapkan 1 hingga 24 Julai sebagai tarikh perbicaraan kes liwat itu.

17 Jun : Anwar memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan liwat beliau di Mahkamah Tinggi.

6 Nov : Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen penting dan sampel DNA yang didakwanya amat penting bagi pembelaannya dalam perbicaraan tuduhan liwat yang dihadapinya.

Antara dokumen penting itu ialah kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, nota seorang ahli kimia, dan laporan perubatan.

1 Dis : Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia tidak boleh membatalkan pertuduhan meliwat terhadap Anwar hanya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan tidak berlaku penetrasi.

Ketika menolak permohonan Anwar untuk mengetepikan pertuduhan liwat terhadapnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata laporan perubatan tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah menggunakan kuasanya membatalkan pertuduhan itu.

2010

3 Feb: Perbicaraan kes liwat Anwar dimulakan dengan Mohd Saiful memberi keterangan sebagai saksi pertama. Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamad Zabidin itu bermula selepas 18 bulan Anwar dikenakan pertuduhan pada Ogos 2008. Dalam keterangannya, Mohd Saiful berkata Anwar, yang didakwa meliwatnya, mengajaknya melakukan hubungan seks luar tabii.

Mohd Saiful berkata kejadian itu berlaku pada 26 Jun, 2008 selepas dia dan Anwar selesai berbincang tentang jadual kerja mereka di sebuah unit kondominium Desa Damansara di sini.

5 Feb: Mohd Saiful memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia tidak membuang air besar selama dua hari selepas diliwat Anwar. Dia juga memberitahu mahkamah bahawa seluar yang dipakainya pada hari kejadian itu berlaku adalah hadiah daripada Anwar.

9 Feb: Perbicaraan kes liwat itu ditangguhkan sekali lagi bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan respons kepada afidavit jawapan terhadap permohonan Anwar supaya hakim perbicaran kes itu menarik diri.

Perbicaraan ditangguhkan selepas pihak pembelaan memohon agar Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada mendengar kes itu atas alasan beliau bersifat berat sebelah.

18 Feb: Anwar gagal dalam cubaannya untuk memastikan Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes liwat melibatkannya. Ketika menolak permohonan itu, Mohamad Zabidin berkata tiada sebab beliau perlu menarik diri daripada menghakimi kes itu, dan jika beliau berbuat demikian, ia samalah seperti beliau melarikan diri daripada menunaikan tanggungjawabnya.

25 Feb: Anwar gagal dalam cubaan terakhirnya mengikut undang-undang untuk mendapatkan dokumen penting, termasuk sampel spesimen DNA Mohd Saiful, sebelum bermulanya perbicaraan kes liwatnya, selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beliau.

3 Mac: Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Anwar, (mendiang) Karpal Singh, Mohd Saiful memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia tidak membasuh duburnya selepas kejadian liwat yang didakwa berlaku pada 26 Jun, 2008 itu kerana mahu “simpan bukti”.

Mohd Saiful, yang merupakan saksi utama dalam kes liwat ketua pembangkang itu, juga berkata dia tidak mandi selepas kejadian itu dan hanya membilas tubuhnya. Mohd Saiful berkata dia mandi pada pagi sebelum kejadian itu berlaku.

16 Ogos: Anwar gagal dalam cubaan keduanya untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadap dirinya apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau. Dalam usahanya untuk menggugurkan pertuduhan itu, Anwar mendakwa integriti dan kesaksamaan keseluruhan pasukan pendakwaan adalah dicurigai berikutan dakwaan wujudnya hubungan antara Mohd Saiful dengan seorang daripada anggota pasukan pendakwaan.

20 Sept: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya dengan memberi alasan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan perkara itu.

6 Dis: Anwar gagal dalam cubaan keduanya meminta Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada menghakimi perbicaraan kes liwatnya apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonannya. Anwar memohon penarikan diri hakim itu berikutan keengganan beliau (hakim berkenaan) mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana menghina mahkamah apabila akhbar itu menyiarkan laporan yang didakwa pihak pembelaan sebagai prejudis terhadap kes ini.

14 Dis: Bapa Mohd Saiful, Azlan Mohd Lazim, merayu perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin agar baginda membantu mempercepatkan kes mahkamah melibatkan anak lelakinya itu.

2011

14 Jan: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan keengganan Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu.

16 Mei: Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar membela diri atas tuduhan meliwat Mohd Saiful apabila mendapati pihak pendakwaan membuktikan terdapat kes prima facie terhadap ketua pembangkang itu. Dalam penghakimannya, Mohamad Zabidin berkata saksi utama, Mohd Saiful, adalah seorang saksi yang bercakap benar, berwibawa dan boleh dipercayai.

6 Jun: Anwar gagal dalam cubaan ketiganya meminta Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes liwatnya. Beliau mengemukakan permohonan itu atas alasan terdapat prapenghakiman dan sikap berat sebelah oleh hakim itu apabila beliau memutuskan bahawa Mohd Saiful adalah seorang saksi yang boleh dipercayai pada penggulungan kes pendakwaan.

22 Ogos: Anwar, yang memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh apabila membacakan kenyataannya setebal 32 muka surat, menafikan beliau telah mengadakan hubungan seks dengan Mohd Saiful.

Anwar mempunyai tiga pilihan – memberi keterangan dari kandang saksi yang yang bermakna beliau boleh disoal balas oleh pihak pendakwaan; memberi keterangan dari kandang tertuduh, yang bermakna beliau tidak boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan, tetapi dalam membuat keputusannya, mahkamah mengambil kira fakta bahawa pihak pendakwaan belum menyoal balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri.

Dalam perbicaraan kes liwatnya yang pertama pada 1998, Anwar memberi keterangan dari kandang saksi.

6 Okt: Mahkamah Tinggi memutuskan adalah tidak perlu bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, memberi keterangan sebagai saksi pihak pembelaan dalam perbicaraan kes itu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib dan Rosmah untuk mengetepikan sapina yang mengarahkan mereka menjadi saksi pihak pembelaaan pada perbicaraan kes berkenaan.

Hakim Mohamad Zabidin berkata selepas meneliti afidavit dan hujah daripada pihak-pihak berkaitan, mahkamah bersetuju dengan peguam yang mewakili Najib dan Rosmah bahawa Anwar gagal menunjukkan kerelevanan dan kepentingan apabila mengemukakan sapina kepada perdana menteri dan isteri.

2012

9 Jan: Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful. Dalam penghakiman setebal 80 muka surat, Hakim Mohamad Zabidin berkata berlaku kemasukan zakar tetapi ia tidak disokong oleh bukti lain.

Beliau berkata mahkamah tidak boleh 100 peratus yakin mengenai integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana sampel itu mungkin telah kompromi sebelum tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisis.

9 Julai: Pihak pendakwaan mengemukakan petisyen rayuan mengandungi sembilan alasan, antara lain, supaya Anwar disabitkan atas tuduhan meliwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

12 Sept: Anwar menarik balik saman beliau terhadap Mohd Saiful yang membuat laporan polis terhadapnya kerana meliwat dengan mendakwa laporan itu bersifat palsu dan berniat jahat.

2013

22 Feb: Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari bermula 22 Julai 2013 untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Anwar.

18 Sept: Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa raya bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuannya terhadap keputusan membebaskan ketua pembangkang itu daripada tuduhan meliwat.

2 Okt: Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari bermula 11 Dis untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Anwar.

21 Nov: Anwar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee Abdullah daripada bertindak sebagai pendakwa raya untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuannya.

Beliau mengemukakan permohonan itu dengan alasan bahawa Muhammad Shafee tidak boleh bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes rayuan itu kerana beliau (Muhammad Shafee) adalah saksi penting pada perbicaraan kes liwat itu.

11 Dis: Anwar memfailkan permohonan kali keduanya untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee.

20 Dis: Anwar gagal dalam permohonan kali keduanya untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee mengetuai pihak pendakwaaan. Ketika menolak permohonan Anwar, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa permohonan itu tidak mempunyai sebarang merit.

Kali ini, Anwar menggunakan maklumat daripada akuan berkanun bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim sebagai alasan untuk mengemukakan permohonan.

2014

6 dan 7 Mac: Mahkamah Rayuan mendengar hujah daripada Muhammad Shafee dan peguam Karpal Singh.

7 Mac: Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan kerana mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful, enam tahun lepas. Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, yang mengetuai panel tiga hakim mendengar rayuan pendakwa dalam kes itu, bagaimanapun membenarkan permohonan Anwar bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan dengan mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar, Hakim Balia berkata panel itu sebulat suara memutuskan bahawa hakim perbicaraan telah terkhilaf dalam penghakiman beliau bahawa integriti sampel DNA yang digunakan dalam kes itu telah dikompromi.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Karpal Singh berkata berikutan keputusan itu, Anwar tidak dapat mengemukakan borang penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang pada 10 Mac.

24 April: Anwar mengemukakan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan liwat itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 35 alasan kenapa sabit kesalahan dan hukuman ke atasnya perlu diketepikan.

14 Ogos: Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 dan 29 Okt untuk mendengar rayuan akhir Anwar. Peguam kanan Datuk Sulaiman Abdullah akan mengetuai pasukan pembelaan berikutan kematian peguam Karpal Singh akibat nahas jalan raya pada 17 April.

14 Okt: Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Muhammad Shafee adalah seorang yang sesuai dan layak untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuan Anwar pada 28 Okt.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dalam keputusan sebulat suara berkata saluran yang sesuai untuk Anwar mencabar pelantikan Muhammad Shafee ialah melalui semakan kehakiman, bukan melalui notis usul.

28 Okt: Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan akhir Anwar untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadapnya kerana meliwat Mohd Saiful. Pendengaran yang pada mulanya ditetapkan selama dua hari mulai 28 Okt itu berlarutan selama lapan hari kerana pihak pembelaaan dan pendakwaaan berhujah secara panjang lebar dan mengemukakan banyak kes perundangan.

Mahkamah mula-mula mendengar hujah daripada pasukan pembelaan. Pada hari pertama pendengaran, peguam kanan dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai barisan 15 peguam bela, mempertikai berlaku penetrasi dalam kes liwat berkenaan kerana berpendapat keterangan Mohd Saiful tentang kewujudan bahan pelincir yang dipanggil KY Jelly dalam perbuatan itu adalah tidak tekal. Sementara itu, peguam N. Surendran berkata tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar adalah satu konspirasi.

29 Okt: Peguam Sangeet Kaur Deo memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa profil DNA seseorang dikenali sebagai ‘Male Y’ yang ditemukan di dalam dubur Mohd Saiful bukan milik Anwar kerana tiada langsung bukti yang boleh mengaitkan ‘Male Y’ dengan Anwar.

Ramkarpal Singh Deo pula menyatakan tentang kemungkinan analisis yang dibuat dua ahli kimia terhadap sampel palitan yang diserah kepada mereka oleh para pegawai penyiasat mungkin kepunyaan orang lain, bukan Mohd Saiful.

30 Okt: Ramkarpal memberitahu mahkamah bahawa tidak terdapat bukti kukuh untuk mengesahkan berlaku penetrasi terhadap dubur Mohd Saiful seperti yang disahkan empat doktor yang memeriksa pengadu. Beliau berkata nota perubatan Dr Mohamed Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawi mengesahkan tidak terdapat kecederaan pada dubur pengadu ketika pemeriksaan dibuat terhadapnya dua hari selepas kejadian itu didakwa berlaku.

31 Okt: Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membalas hujah pasukan pembelaan dengan berkata Mohd Saiful tidak mungkin mereka-reka bukti kerana wujud kebenaran yang jelas dalam keseluruhan keterangan berhubung dakwaannya tentang tindakan Anwar melakukan liwat.

Muhammad Shafee berkata Mohd Saiful menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya secara spontan dan menerangkan secara panjang lebar tentang perkara yang berlaku sebelum dan selepas perbuatan liwat itu didakwa berlaku.

Beliau juga berhujah bahawa Mohd Saiful menjadi mangsa gangguan seksual oleh Anwar di tempat kerjanya sebelum kejadian itu apabila dia menjadi mangsa kepada seorang yang dominan, berpengaruh dan berkarisma.

3 Nov: Muhammad Shafee berkata profil DNA dikenali sebagai ‘Male Y’ yang ditemukan di dalam dubur Mohd Saiful adalah milik bekas bosnya iaitu Anwar. Kata beliau ini adalah berdasarkan analisis DNA terhadap tiga sampel iaitu berus gigi, tuala ‘Good Morning’ dan botol air mineral yang diambil dari sel tempat Anwar ditahan selama semalaman di ibu pejabat polis ibu negara dari 16 hingga 17 Julai 2008, yang dilakukan ahli kimia Dr Nor Aidora Saedon.

Beliau juga berkata keterangan Mohd Saiful berkaitan dakwaan pengalaman seksualnya dengan Anwar sebelum ini boleh diterima dalam kes liwat semasa kerana ia mencerminkan keadaan minda dan tingkah laku Mohd Saiful sebelum, ketika dan selepas perbuatan liwat ini didakwa berlaku.

4 Nov: Muhammad Shafee berhujah bahawa Anwar sepatutnya membuat ujian DNA untuk membuktikan profil tidak dikenali ‘Male Y’ yang ditemukan pada dubur Mohd Saiful bukan miliknya. Beliau berkata Anwar juga sepatutnya memanggil saksi alibinya untuk membuktikan beliau tidak berada di unit kondominium berkenaan ketika perbuatan liwat melibatkannya dan Mohd Saiful didakwa berlaku.

Kata Muhammad Shafee, Anwar, melalui peguamnya, menyenaraikan 13 nama, termasuk isteri ketua pembangkang itu, yang juga presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemilik unit kondominium berkenaan, dua pembantu rumah dan seorang profesor, tetapi tiada seorang pun daripada mereka dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah bagi menyokong alibi bahawa beliau tidak berada di kondominium tersebut ketika kejadian itu didakwa berlaku.

6 Nov: Ketika menjawab hujah pihak pendakwaan, Ramkarpal meminta Mahkamah Persekutuan membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat itu kerana kes pihak pendakwaan mengandungi keraguan dan kejadian secara kebetulan yang tidak boleh diterima.

Merujuk kepada pertemuan Mohd Saiful dengan seorang pegawai kanan polis dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari sebelum kejadian liwat itu didakwa berlaku, beliau berkata ia bukan merupakan suatu kejadian secara kebetulan.

7 Nov: Sri Ram memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa penasihat PKR itu tidak sepatutnya dipersalahkan kerana memilih memberi keterangan dari kandang tertuduh ketika membela diri. Melalui hujah terakhirnya dalam rayuan itu, beliau berkata Anwar memilih berbuat demikian berikutan pengalamannya sebelum ini di mana mahkamah bawahan mensabitkan kesalahannya bagi tuduhan serupa (meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar). Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusannya tentang rayuan itu setelah mendengar hujah kedua-dua pihak.

2015

26 Jan: Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Feb untuk mengumumkan keputusannya. Tarikh itu diumumkan melalui akaun Twitter Badan Kehakiman Malaysia. Pengumuman itu menyatakan keputusan akan diumumkan pada pukul 9 pagi.

10 Feb: Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dengan itu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dikenakan terhadap ahli politik itu oleh Mahkamah Rayuan.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim, berkata kenyataan tidak bersumpah oleh perayu (Anwar), yang jelas hanya memberikan kesan amat sedikit, dan keterangan dikemukakan menerusi saksi-saksinya telah gagal memberikan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

“Kami (panel) dengan ini yakin sepenuhnya yang melampaui keraguan munasabah bahawa saksi pertama pihak pendakwaan (Mohd Saiful) telah diliwat oleh perayu (Anwar) seperti dituduh,” kata Hakim Ariffin, membacakan ringkasan penghakiman setebal 54 muka surat.

[Berikut ialah beberapa intipati penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar bagi pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful, seperti dilapor Bernama]:

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim iaitu Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

  • Mahkamah Persekutuan yakin melampaui keraguan munasabah bahawa Mohd Saiful telah diliwat oleh Anwar seperti dituduh.
  • Panel hakim Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa Anwar tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan, dan dengan itu pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.
  • Bukti saintifik (perubatan dan DNA) yang dikemukakan pihak pendakwaan jelas menunjukkan sel sperma milik Anwar ditemui dalam bahagian bawah dan atas rektum Mohd Saiful.
  • Mahkamah Persekutuan berkata satu-satunya penjelasan yang logik bagi keadaan itu adalah Mohd Saiful semestinya telah diliwat oleh Anwar.
  • Mahkamah Persekutuan memutuskan pembelaan berhubung konspirasi politik kekal sebagai dakwaan semata-mata yang tidak disokong oleh sebarang keterangan berwibawa.
  • Mahkamah Persekutuan mendapati Mohd Saiful adalah seorang saksi yang berwibawa.
  • Panel hakim mendapati Mohd Saiful bukan peserta sukarela dalam kesalahan liwat itu, malah merupakan seorang mangsa.
  • Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan berpendapat hakim perbicaraan (mahkamah tinggi) terkhilaf dalam memutuskan ‘kepastian 100 peratus’ mengenai bukti bahawa kemungkinan sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful telah tercemar.
  • Standard bukti yang betul menyatakan bukti melampaui keraguan munasabah tidak perlu mencapai tahap kepastian sebaliknya membawa tahap kebarangkalian yang lebih tinggi.
  • Mahkamah Persekutuan mendapati agak mustahil kebarangkalian sampel yang diambil daripada Mohd Saiful sudah tercemar.

Kerajaan baharu itu dibentuk hasil keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan DAP yang menyertai Pakatan Harapan.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
22 jam lalu· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Popular
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024
Tiada laporan polis diterima berhubung rakaman tular perbualan lucah
November 17, 2023
Selepas Noh, Khairy juga dipecat dan Hishammuddin digantung keahlian
January 28, 2023
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024
Lagi Politik terkini
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024 · Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024 · Politik
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024 · Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024 · Politik
Pengapungan harga petrol dijangka beri tekanan kepada rakyat, kata Bersatu
April 18, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok