
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir berkata imej rasuah dan penyakau sukar dikikis dalam wajah UMNO.
Penguasaan ‘Team Presiden’ dalam pemilihan UMNO baru-baru tidak memberi jaminan bahawa imej dan kekuatan parti itu dapat dipulihkan setelah ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, apa lagi menjelang pilihan raya (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
“Sukar untuk melihat UMNO, melalui pemilihan parti (baru-baru ini), akan makin kukuh dan mampu bangkit kembali sebagaimana didakwa, sedangkan realitinya ia semakin ditolak rakyat angkara kelemahan dan masalah yang menimpa pimpinan tertingginya.
“Bawah Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) imej rasuah dan penyakau sukar dikikis dari menggelapkan wajah UMNO,” kata Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.
Menurutnya Zahid hari ini mungkin Timbalan Perdana Menteri dan beberapa wakil UMNO berada dalam Kabinet, namun soalnya mampukah kemenangan dalam pemilihan Majlis Tertinggi (MT) itu akan memulihkan imej serta kekuatan UMNO yang telah ditolak rakyat.
“Jangan lupa UMNO hari ini berada pada tahap pencapaiannya yang terburuk dalam sejarah. Jangan kita lupa juga UMNO yang satu ketika dahulu gagah menguasai kerajaan Persekutuan dan sebahagian besar kerajaan negeri-negeri.
“Hari ini hanya tinggal berbaki 26 dari 222 kerusi di Parlimen iaitu hanya menguasai 11.8 peratus kekuatan di Parlimen. Kerajaan negeri yang dikuasai UMNO di Semenanjung hanyalah Perak, Johor, Pahang dan Melaka.
“Sedangkan PAS (Perikatan Nasional) menguasai Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah. DAP pula berkuasa di Pulau Pinang manakala PKR di Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini (23 Mac 2023).
Malah, Roslah berkata di negeri Zahid sendiri, Perak, UMNO cuma mampu menang lapan daripada 59 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu cuma 13.6 peratus dan mengharapkan “tongkat” Pakatan Harapan, terutama DAP untuk terus berkuasa.
Menurutnya tindakan Zahid membawa partinya dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan PH yang didominasi DAP, UMNO bukannya dilihat akan kembali bangkit tetapi bakal hilang daripada arus perdana politik negara.
Beliau memberi contoh bagi berdepan PRN di enam negeri tidak lama lagi, adakah PH bersedia mengorbankan kerusi dimenangi untuk memberi laluan kepada UMNO bertanding.
Roslan berkata di Selangor umpamanya UMNO boleh berpuas hati dengan lima kerusi yang dimenangi, manakala kerusi milik PN, Pejuang dan Parti Bangsa Malaysia mustahil akan mudah-mudah diserahkan oleh PH untuk ditandingi UMNO.
“Di Kelantan, Terengganu dan Kedah, PH mahupun UMNO sukar menang. Itu pun pasti PKR dan PAN (AMANAH) telah ada calon-calon mereka. Mampukah UMNO khasnya Zahid mengendeng untuk dapatkan kerusi-kerusi untuk ditandingi UMNO?
“Dalaman PKR, DAP dan PAN pun khabarnya tidak selesa jika PH memberi muka sangat pada UMNO, kerana ia dilihat sebagai liabiliti, biawak hidup yang dipikul yang hanya akan merugikan mereka,” katanya.
Justeru, Roslan Shahir berkata Zahid mungkin muncul gagah setelah mencantas para penentangnya dalam UMNO dan kini muncul menguasai MT UMNO, tetapi beliau akan berhadapan kesukaran untuk mengembalikan UMNO sebagaimana sebelumnya kerana tidak nampak faktor positif yang boleh membantunya.
“UMNO dilihat akan semakin tenat dan di tangan Zahid lah sesungguhnya UMNO dijangka bakal meniti hari-harti terakhirnya,” katanya.