
Jangan kita lupa juga UMNO yang satu ketika dahulu gagah menguasai kerajaan Persekutuan dan sebahagian besar kerajaan negeri-negeri hari ini hanya tinggal berbaki 26 dari 222 kerusi di Parlimen iaitu hanya menguasai 11.8 peratus kekuatan di Parlimen.
Berikutan selesainya proses pemilihan pucuk pimpinan tertinggi UMNO hujung minggu lalu seorang penganalisa politik dalam akhbar The Star, Joceline Tan, membuat ulasan panjang lebar bawah tajuk: “Zahid stronger than ever after UMNO polls” ataupun “Zahid muncul makin gagah setelah (selesai) pemilihan UMNO”.
Menurut Joceline, ini kerana hampir dua pertiga dari ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO yang baru merupakan mereka yang berpihak padanya.
Manakala dua dari tiga Naib Presiden UMNO juga didakwa menyebelahi Zahid. Dengan dikelilingi oleh mereka yang setia padanya, maka Zahid dianggap cukup gagah dan berkuasa dan dengan itu kononnya mampu melonjakkan kembali imej beliau sebagai Presiden UMNO.
Memang dengan kemenangan ini Zahid ternyata menguasai UMNO, masalahnya adakah kemenangan ini benar-benar dapat membantu memulihkan UMNO?
Jangan lupa UMNO hari ini berada pada tahap pencapaiannya yang terburuk dalam sejarah. Zahid hari ini mungkin Timbalan Perdana Menteri dan beberapa wakil UMNO mungkin berada dalam kabinet, soalnya mampukah kemenangan dalam pemilihan MT ini memulihkan imej serta kekuatan UMNO yang telah ditolak rakyat dalam PRU ke 15 baru-baru ini?
Jangan kita lupa juga UMNO yang satu ketika dahulu gagah menguasai kerajaan Persekutuan dan sebahagian besar kerajaan negeri-negeri hari ini hanya tinggal berbaki 26 dari 222 kerusi di Parlimen iaitu hanya menguasai 11.8 peratus kekuatan di Parlimen.
Kerajaan negeri yang dikuasai UMNO di Semenanjung hanyalah Perak, Johor, Pahang dan Melaka. Sedangkan PAS contohnya menguasai Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah. DAP pula berkuasa di Pulau Pinang manakala PKR di Selangor dan Negeri Sembilan.
Di Perak, negeri Zahid sendiri UMNO cuma mampu menang 8 dari 59 kerusi di DUN iaitu cuma 13.6 peratus penguasaan dan mengharapkan “tongkat”dari Pakatan Harapan khasnya DAP untuk berkuasa.
Dalam PRU Parlimen baru-baru ini UMNO hilang kerusi-kerusi Parlimen selamatnya contoh di Gua Musang, Besut, Arau, Kepala Batas, Sabak Bernam, Tanjong Karang, Gerik, Pasir Salak, Jerantut dan Rompin.
Manakala di negeri Perlis UMNO tiada satu kerusi DUN pun yang tinggal. Negeri Perlis yang selama ini merupakan kubu kuatnya terlepas dari gengamannya dalam PRN Negeri baru-baru ini.
Beberapa ahli Majlis Tertinggi UMNO termasuk yang menang hari ini dalam pemilihan parti itu, tewas di kawasan Parlimen masing-masing termasuklah Mahazir Khalid di Padang Terap, Dr Zambry Abd Kadir di Lumut, Tengku Zafrul di Kuala Selangor, Abdul Azeez Abdul Rahim di Baling, Mohd Sharkar Shamsudin di Temerloh, Jamil Khir Baharom di Jerai dan lain-lain.
Sukar untuk melihat UMNO melalui pemilihan partinya ini akan makin kukuh dan mampu bangkit kembali sebagaimana didakwa sedangkan realitinya ia semakin ditolak rakyat angkara kelemahan dan masalah yang menimpa pimpinan tertingginya. Bawah Zahid imej rasuah dan penyakau sukar dikikis dari menggelapkan wajah UMNO.
Tindakan mengekalkan Presiden dan Timbalannya menang tanpa bertanding sesungguhnya cukup mengecewakan ahli-ahlinya. Ia menghalang proses demokrasi dalam parti yang sepatutunya disaat UMNO berada pada tahap kritikal ini membuka pintu untuk pertandingan bagi semua kerusi dalam parti termasuklah Presiden dan Timbalan Presiden. Ahli-ahIi tidak diberi peluang untuk bersuara.
Rakyat di luar melihat pimpinan UMNO seakan menghalang proses pemilihan dan pimpinan tertinggi parti itu sudah bagaikan diktator pula, bagaimana rakyat mahu memberi kepercayaan pada UMNO lagi?
Mantan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sendiri kesal dengan tindakan “tiada pertandingan” buat jawatan nombor satu dan dua parti dan malah mempertikaikan keputusan ROS berkenaan memberi pengecualian pada UMNO untuk bertindak demikian.
Ismail dengan rekod kepimpinan bersih sebagai PM UMNO terakhir dijangka mampu mencabar kedudukan Zahid kiranya terdapat pertandingan, tetapi Zahid telah mengambil langkah politik terlebih awal.
Tindakan Zahid memecat dan menggantung penentang-penentangnya dianggap tindakan untuk menyelamatkan diri dan kedudukannya bukannya untuk menyelamatkan nasib dan masadepan UMNO itu sendiri.
Ramai merasakan tokoh-tokoh yang diambil tindakan antaranya Tan Sri Noh Omar, Khairy Jamaluddin, Anuar Musa, Hishamuddin Tun Hussien, mereka inilah yang sebenarnya berkeupayaan membantu menghidupkan kembali UMNO, tetapi Zahid lebih mementingkan kedudukannya.
Kini dengan keputusan Zahid berkerjasama dengan PH yang didominasi DAP, UMNO bukannya akan kembali bangkit sebagaimana dahulu tetapi diramalkan ia akan semakin mengecut dan mengecil, tidak mustahil hilang dari arus perdana politik negara sama sekali.
Bagi menghadapi PRN di enam buah negeri tidak lama lagi, adakah PH bersedia memberi laluan untuk UMNO bertanding, dan jika menang menguasai negeri-negeri in? PH sendiri berkuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, mahukah mereka mengorbankan kerusi-kerusi mereka untuk ditandingi UMNO?
UMNO setelah kalah PRU 15 baru-baru akan semakin tertekan dalam menghadapi PRN di enam buah negeri tidak berapa lama lagi. Di Selangor umpamanya UMNO bolehlah berpuas-hati dengan lima kerusi yang ia miliki.
Kerusi-kerusi lain yang dimenangi PN dan yang kini dikuasai Pejuang atau PBM mustahil akan mudah-mudah diserahkan oleh PH untuk ditandingi UMNO kerana PH telah ada penyelaras DUN di tiap-tiap DUN ini yang telah berkerja sekian lama.
Di Kelantan, Terengganu dan Kedah PH mahupun UMNO sukar menang, itupun pasti PKR dan PAN telah ada calon-calon mereka, mampukah UMNO khasnya Zahid mengendeng untuk dapatkan kerusi-kerusi untuk ditandingi UMNO?
Dalaman PKR, DAP dan PAN pun khabarnya tidak selesa jika PH memberi muka sangat pada UMNO, kerana ia dilihat sebagai liabiliti, biawak hidup yang dipikul yang hanya akan merugikan mereka.
Justeru Zahid mungkin muncul gagah setelah mencantas para penentangnya dalam UMNO dan kini muncul menguasai MT UMNO, tetapi beliau akan berhadapan kesukaran untuk mengembalikan UMNO sebagaimana sebelumnya kerana tidak nampak faktor positif yang boleh membantunya.
UMNO dilihat akan semakin tenat dan di tangan Zahid lah sesungguhnya UMNO dijangka bakal meniti hari-harti terakhirnya.
Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir,
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.