
Dr Mahathir menyifatkan perbandingan Malaysia dengan Singapura bukan satu perbandingan yang sama kerana keduanya menggunakan dasar yang berbeza dalam kewangan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dberikan tempoh lanjutan selama dua minggu lagi bagi memfailkan pernyataan pembelaannya terhadap saman fitnah RM150 juta oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri (PMX) itu sepatutnya memfailkan pembelaan hari ini, bagaimanapun Mahkamah Tinggi di Shah Alam memberi kebenaran untuk melanjutkan tempoh selama dua minggu lagi.
Sekiranya Anwar, tidak dibenarkan lanjutan hari ini, defendan perlu memfailkan pernyataan pembelaan hari ini, menurut laporan Malaysiakini.
Peguamnya, lliff Benjamin Suhaimi mengesahkan keputusan pengurusan kes di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi awal hari ini.
“Kami dapat (lanjutan bermula hari ini untuk selama) dua minggu. Perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 7 Julai,” kata peguam itu dipetik laporan portal itu.
Sementara itu, peguam Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali ketika dihubungi, mengesahkan keputusan lanjutan masa sehingga 14 Jun untuk Anwar memfailkan pernyataan pembelaannya.
Peguam itu berkata bahawa mereka mendapat arahan daripada Dr Mahathir untuk membantah permohonan awal oleh Anwar untuk lanjutan masa sebulan, kerana kes berkenaan adalah perkara kepentingan awam dan amat mendesak untuk saman itu didengar secepat mungkin.
Bagaimanapun, Rafique menambah bahawa mahkamah sivil akhirnya memutuskan untuk memberikan lanjutan dua minggu.
Pada 3 Me lalu, Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar berhubung dakwaan mengumpul kekayaan untuk kekayaan peribadi semasa berkuasa.
Tindakan sivil itu adalah berhubung ucapan dasar Anwar selaku Presiden PKR pada kongres kebangsaan khas parti itu pada 18 Mac.
Plaintif menuntut ganti rugi am RM50 juta dan ganti rugi teladan RM100 juta.
Dr Mahathir memohon perintah mahkamah agar Anwar mengeluarkan permohonan maaf bertulis dan penarikan serta-merta dakwaan itu.
Plaintif juga menuntut faedah tahunan lima peratus ke atas ganti rugi yang diberikan untuk dikira dari tarikh memfailkan tindakan sivil sehingga penyelesaian penuh pembayaran pampasan, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.