
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.
SPRM ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya ini tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.
Menurut SPRM, ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 hingga 19 September 2021.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan,” katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan berkata polis tidak menerima laporan berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) milik seorang individu yang pernah disiasat SPRM.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum berita tular di media sosial yang mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman kerana terbabit mencuri wang tersebut.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin mengesahkan bahawa sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian ini.,” katanya.
Pada Khamis, sebuah blog tempatan mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.