
Keadaan banjir di Baling, foto kredit Facebook.
Tiada unsur unsur penyelewengan dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam projek melibatkan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas.
Projek Musang King tersebut sebelum ini didakwa menjadi punca kepada banjir lumpur di Kampung Iboi, Baling sehingga mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan menjejaskan ratusan penduduk.
Bagaimanapun, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap memberitahu hasil siasatan dan penelitian awal ke atas semua dokumen berkenaan tidak mengesan sebarang unsur salah laku atau penyelewengan, yang boleh diambil tindakan mengikut bidang kuasa SPRM.
“Bagaimanapun, kita tidak tolak kemungkinan meneruskan siasatan lanjut berkaitan projek ladang durian ini, jika mendapat maklumat baharu yang boleh dikaitkan dengan bidang kuasa kami.
“Setakat ini, tidak ada laporan rasmi dibuat kepada SPRM berkaitan kes ini. Sebaliknya, kita yang mengambil inisiatif memulakan siasatan, termasuk ke Wisma Darul Aman bagi mendapatkan dokumen berkaitan,” katanya dipetik laporan BH.
Terdahulu, isu ladang Musang King itu menjadi pertikaian apabila berlaku tuduh menuduh antara bekas Menteri Besar Kedah terdahulu berhubung kelulusan yang diberikan.
Susulan itu, bekas MB Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah membuka mulut membuat penjelasan berhubung kelulusan kepada syarikat ECK Development Sdn Bhd.
Ahmad Bashah mengakui semasa menjadi MB, pentadbirannya menerima cadangan dikemukakan ECK Development Sdn Bhd yang merancang Gunung Inas, Baling, dijadikan ladang durian Musang King berskala besar pada 2018.
Sementara itu, seorang lagi bekas MB, Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuat penafian semasa pentadbirannya memerintah negeri itu meluluskan pembukaan ladang durian di Baling.
Penduduk tempatan juga sudah membuat desakan kepada kerajaan negeri agar mencari jalan untuk menghentikan projek ladang tersebut.