
Transparency International (TI).
Malaysia berisiko menuju ke ‘arah salah’ selepas Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia 2022 merosot kepada 47 mata.
Indeks tersebut yang dikeluarkan badan anti-rasuah dunia, Transparency International (TI) menyaksikan negara jatuh enam mata bagi tempoh tiga tahun dari kedudukan 53 pada 2019.
TI Malaysia dalam kenyataannya, berkata penurunan itu menunjukkan negara menuju ke ‘arah yang salah’ dalam memerangi rasuah, mendukung hak asasi manusia dan demokrasi di sektor awam.
“Negara Skandinavia terus mendominasi kedudukan indeks dengan Denmark, Finland, Norway dan Sweden antara 10 negara teratas atau ‘terbersih’, diikuti New Zealand dan Singapura dari rantau Asia Pasifik.
“Di kedudukan terbawah indeks, prestasi terburuk adalah Venezuela, Syria , Sudan Selatan dan Somalia,” kata laporan itu.
Selain itu, kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi institusi anti-rasuah yang bebas dan berkesan serta dipertanggungjawabkan secara langsung kepada Parlimen turut menyumbang kepada kemerosotan indeks.
“Tafsiran yang terlalu luas mengenai Akta Rahsia Rasmi menyebabkan kurangnya ketelusan dalam hal kepentingan awam seperti kontrak rundingan secara langsung.
“Keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan individu tertentu dalam kes rasuah berprofil tinggi menimbulkan persepsi negatif mengenai perjalanan proses undang-undang negara.
“Penjelasan yang lebih jelas daripada Jabatan Peguam Negara dapat mengurangkan persepsi sedemikian,” katanya.
Menurut laporan itu, lebih dua pertiga negara mempunyai masalah serius membabitkan rasuah dengan skor di bawah 50.
Denmark berada di kedudukan teratas indeks pada tahun ini dengan skor sebanyak 90, diikuti rapat oleh Finland dan New Zealand, masing-masing 87 mata.
Institusi demokratik yang kuat dan memandang tinggi hak asasi manusia juga menyebabkan negara itu antara yang paling aman di dunia.
Katanya, 26 negara antaranya United Kingdom, Qatar dan Guatemala, mencatatkan skor terendah dalam sejarah tahun ini.