
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan senarai Kabinet baharunya dalam minggu ini selepas dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ismail Sabri berkata perbincangan berhubung pembentukan Kabinet sedang diperincikan sebelum senarai anggota Kabinet dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada Sabtu, Naib Presiden UMNO tersebut mengangkat sumpah sebagai PM-9 menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai PM selepas hilang majoriti apabila 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadapnya.
Percaturan itu menyaksikan Ismail Sabri diangkat sebagai PM bagi memimpin kerajaan.
Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) menegaskan sokongan penuh parti-parti politik gabungannya kepada Ismail Sabri adalah dengan beberapa syarat, termasuk memastikan Jemaah Menteri yang bakal dilantik bukan daripada individu yang berdepan sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
Muhyiddin berkata Ismail Sabri juga perlu memastikan individu yang dilantik menganggotai Kabinetnya terdiri daripada mereka yang berintegriti dan amanah.
“Parti Perikatan Nasional (PN) telah sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan mantan Timbalan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, sebagai calon Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional yang baharu.
“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihanraya Umum bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.
“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah,” katanya dalam kenyataan.