
Royal Lake Club Kuala Lumpur memecat Datuk Seri Najib Razak sebagai penaungnya berkuat kuasa serta-merta.
Royal Lake Club Kuala Lumpur – salah satu kelab sosial tertua di negara ini – memecat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai penaung.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang diadakan oleh jawatankuasa kelab itu Khamis lalu (25 Ogos), dua hari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Najib menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama menjalani hukuman di Penjara Kajang.
“Jawatankuasa agung dalam mesyuaratnya pada 25 Ogos, selaras dengan sabitan yang dinamakan di atas oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos, membatalkan jawatan penaung kelab yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak pada 1 Jun 2011, berkuat kuasa serta-merta,” kata surat ringkas kelab itu seperti dilapor TheEdge.
Surat itu ditandatangani oleh Presiden Royal Lake Club Kuala Lumpur Manjeet Singh Dhillon.
Ditubuhkan pada 16 Ogos 1890, Royal Lake Club Kuala Lumpur terletak di dalam Lake Gardens Kuala Lumpur, berhampiran dengan Bangunan Parlimen.
Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas salah guna kuasa membabitkan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) kepada SRC, dan masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC.
Pada masa itu, SRC merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Bhd.
Sabitan dan hukumannya kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021, dan kemudian oleh Mahkamah Persekutuan pada Selasa (23 Ogos).