[KEMAS KINI] ROSMAH BERSALAH

September 1, 2022 · Isu semasa

Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam pembelaannya terhadap tiga pertuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan menerima suapan masing-masing berjumlah RM1.5 juta, serta RM5 juta berkaitan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Setelah hampir empat tahun perbicaraan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan dalam keputusannya hari ini mendapati isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu bersalah.

Dalam ringkasan keputusan 100 muka surat, Mohamed Zaini berkata beliau mendapati tertuduh gagal menyangkal andaian bahawa dia tidak menerima jumlah wang itu.

“Saya dapati resit RM187.5 juta diterima secara rasuah, pertuduhan kedua menerima RM1.5 juta dan pertuduhan ketiga menerima RM5 juta diterima secara rasuah sebagai balasan mendapatkan Jepak Holdings Sdn Bhd kontrak kerajaan melalui rundingan terus,” katanya.

“Pembelaan tidak mempunyai bukti yang boleh dipercayai dan bukti tidak berasas yang menimbulkan keraguan munasabah.

“Pihak pendakwaan telah menyampaikan kes mereka dan oleh itu saya mendapati tertuduh bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan saya kini menjemput peguam untuk mengemukakan litigasi mereka sementara menunggu penangguhan pelaksanaan,” tambahnya.

Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh kemudian memohon hukuman ringan terhadap guamnya dengan memberi alasan sumbangan Rosmah kepada masyarakat serta kesalahan itu adalah yang pertama buatnya.

Jagjit mencadangkan tempoh penjara sehari dikenakan selain hukuman ringan yang boleh dikenakan terhadap Rosmah.

Sementara itu, memetik Mkini, Rosmah sendiri yang diberi peluang bercakap mendakwa dia adalah mangsa dalam kes projek solar hibrid dan pihak yang benar-benar bersalah masih lagi bebas pada masa ini.

Sambil menangis, dia juga berharap mahkamah dapat memberi belas ihsan kepadanya sebagai seorang manusia.

“Apa yang berlaku kepada saya boleh berlaku kepada anda, anak anda, cucu anda kemudian. Saya mangsa dalam semua ini. Anda telah lakukannya kepada suami saya dan anda mahu keluarga saya menderita.

“Tolong ambil kira saya yang menggantikan peranan ketua keluarga,” katanya dengan teresak-esak.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan kali ketiga Rosmah, yang juga digelar ‘First Lady Of Malaysia’, untuk menyingkirkan hakim Mohamed Zaini daripada membuat keputusan berhubung kes itu.

Permohonan itu difailkan pada Selasa (30 Ogos) atas alasan kononnya penghakiman kesnya bocor. Keputusan penghakiman itu disediakan oleh pihak lain yang telah tular di media sosial pada 26 Ogos.

Rosmah sebelum ini menghadapi tiga pertuduhan rasuah melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Rosmah pada 15 November 2018, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di Nombor 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari tahun lalu.

Rosmah diperintah membela diri pada 18 Februari 2021 terhadap tiga tuduhan rasuah selepas Mohamed Zaini memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Berita berkaitan
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Jangan jadi ‘orang suruhan’ untuk kepentingan pihak tertentu, kata MB Kedah
January 8, 2024· Berita
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Radzi arah KSU lapor SPRM dakwaan Zaharin
October 17, 2022
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024
Baik buruk media sosial
March 26, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok