
Pada jam 9.18 pagi tadi (29 Ogos 2022), mata wang tempatan berada pada 4.4795/4835 berbanding dolar AS daripada penutupan 4.4655/4675 pada Jumaat.
Nilai ringgit menyusut, manakala Bursa Malaysia rendah pada pembukaan urus niaga hari ini (18 Ogos 2022), susulan beberapa sebab termasuk pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).
Menurut penganalisis nilai ringgit menyusut pada sesi pembukaan dagangan pagi ini berbanding dolar AS berikutan permintaan yang kukuh untuk dolar AS selepas Rizab Persekutuan (Fed) membayangkan kemungkinan pelarasan kadar faedah yang ketara untuk mengawal kenaikan inflasi AS, kata penganalisis.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.4670/4700 berbanding dolar AS daripada 4.4660/4685 pada penutup Rabu, lapor Bernama.
Dalam minit mesyuarat dasar terbaharunya, Fed berkata bahawa ia melihat ‘sedikit sahaja tanda’ pada lewat bulan lalu yang menunjukkan inflasi AS semakin berkurangan dan menyedari ia akan mengambil masa yang agak lama untuk situasi itu diselesaikan.
Bagaimanapun, kerugian ringgit dihadkan oleh kenaikan harga minyak, dengan penanda aras minyak mentah Brent didagangkan sekitar US$93 setong.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama pagi ini.
Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2334/2361 daripada 3.2315/2338 pada penutup Rabu dan merosot berbanding euro pada 4.5501/5531 daripada 4.5455/5480 sebelumnya.
Namun begitu, ringgit tidak berubah berbanding yen Jepun pada 3.3126/3150 daripada 3.3126/3147 semalam, tetapi meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3827/3864 daripada 5.4048/4078 sebelumnya.
Sementara itu, Bursa Malaysia memulakan urus niaga pagi ini agak rendah, tetapi mula meningkat selepas itu apabila minat belian baharu muncul untuk mendapatkan saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah sentimen berhati-hati pasaran serantau, kata peniaga.
Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.56 mata kepada 1,520.72 daripada 1,518.16 pada penutup Rabu.
Indeks utama itu dibuka lemah 1.38 mata untuk mencatatkan paras 1,516.78.
Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung dengan 213 berbalas 115 manakala 232 kaunter tidak berubah, 1,738 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 252.95 juta unit bernilai RM119.70 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata memandangkan prestasi Wall Street yang lebih lemah, sentimen di bursa tempatan mungkin akan bertukar untuk lebih berhati-hati apabila tumpuan kembali beralih kepada dasar kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) berikutan pengumuman minit mesyuarat bulan Julai Fed.
“Bagaimanapun, pelabur mungkin menantikan musim pelaporan pendapatan akan datang, menumpukan pada saham berpotensi mencatatkan pertumbuhan pendapatan kukuh di bawah persekitaran ini.
“Sementara itu, sektor-sektor seperti pengangkutan dan logistik, pengguna dan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) akan kekal rancak,” katanya dalam satu nota hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals menokok 5.0 sen setiap satu, masing-masing mencatatkan harga RM9.02 dan RM8.77, Public Bank meningkat 2.0 sen kepada RM4.67, CIMB naik 1.0 sen kepada RM5.46 manakala IHH Healthcare susut 2.0 sen kepada RM6.48.
Bagi saham aktif, Pegasus Heights lega setengah sen kepada 1.0 sen, MyEG turun 1.5 sen menjadi 79 sen, manakala AGMO Holdings yang mula disenaraikan di Pasaran ACE melonjak 47 sen kepada 73 sen dan Cnergenz meningkat 4.0 sen kepada 76.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 7.84 mata kepada 10,751.68, Indeks FBMT 100 naik 9.45 mata kepada 10,501.60 manakala Indeks FBM Emas Syariah susut 8.10 mata menjadi 10,892.14.
Indeks FBM 70 pula jatuh 21.87 mata kepada 12,744.68 semenatan FBM ACE menambah 33.57 mata kepada 4,982.83.
Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 53.47 mata kepada 16,842.25, Indeks Perladangan susut 4.60 mata menjadi 7,290.12, Indeks Tenaga lemah sedikit sebanyak 0.63 mata kepada 658.97 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.16 mata kepada 183.41.