
Himpunan 10K Solidariti Palestine yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak dibanjiri orang ramai yang berhimpun bagi menyatakan solidariti kepada Palestin yang sedang berdepan keganasan Zionis Israel.
Dalam perhimpunan petang tadi, pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) turut hadir bersama-sama ribuan orang ramai membawa bendera Palestin dan melaungkan slogan anti-Israel sebagai bantahan terhadap keganasan yang menyaksikan ribuan nyawa terkorban setakat ini.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya semasa perhimpunan berkata rakyat Malaysia tetap bersama perjuangan rakyat Palestin biarpun menang atau kalah.
“Menang kamu (Palestin) bermakna menang kami di sini juga menang, begitu juga kalau kamu kalah, kami di sini juga kalah,” katanya.
Hadi berkata umat Islam perlu bersama-sama dalam perjuangan rakyat Palestin tidak sama ada membantu dengan memberi sumbangan atau berdoa agar beroleh kemenangan.
“Penting bagi umat Islam menunjukkan simpati kepada Palestin dan protes kepada Israel dan negara yang menyokongnya. Kita mesti mengerahkan semua pihak untuk menghukum kezaliman yang sedang berlaku yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Setiap umat Islam mesti bersama Palestin sekurang-kurangnya berdoa, menyumbangkan harta serta jiwa raga demi bersama Palestin. Maka Malaysia mesti bersama dan bersatu dengan Palestin dalam menghadapi kezaliman Israel. Penyatuan ini mesti dibina supaya teguh dan kuat.
“Saya mengucapkan syabas kepada semua yang hadir pada petang ini untuk menunjukkan simpati dan sokongan kita kepada Palestin. Mari kita bangkitkan kebesaran Allah yang mengatasi kebesaran segala-galanya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran jangan ada pihak di negara ini yang cuba bersekongkol dengan Zionis Israel dan Amerika Syarikat.
Menurutnya juga ribuan yang hadir pada himpunan hari ini sebagai menggambarkan rakyat Malaysia tetap bersama umat Islam di Palestin dalam apa sahaja situasi.
“Kita akan terus bermunajat dan berdoa setiap malam untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis Yahudi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa supaya kerajaan Malaysia membahaskan isu penderitaan rakyat Palestin di Parlimen pada sidang kali ini.
“Kita mahu membawa usul pembangkang mengenai isu Palestin diterima di Dewan Rakyat sebagai pandangan sebulat suara untuk tidak menyokong tindakan Israel.
“Kita akan usulkan secepat mungkin, kalau boleh pada Isnin ini dan pada masa sama kerajaan juga perlu bertegas menyatakan pendirian mahu Israel keluar dari Palestin,” katanya.
Himpunan 10K Solidariti Palestin hari ini dianjurkan PAS bersama-sama beberapa NGO Islam di Jalan Tun Razak berhampiran Kedutaan Amerika.
Himpunan itu turut disertai Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama-sama ribuan orang ramai.