
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.
Polis memanggil Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk dirakam keterangan berhubung skandal mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) yang tidak siap.
Rafizi mengesahkan sendiri dipanggil untuk memberi keterangan berhubung pendedahan dibuatnya melibatkan skandal kapal tidak siap tersebut dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Katanya, beliau akan hadir jam 3 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
“Saya dipanggil polis untuk dirakam kenyataan berikutan laporan polis yang dibuat minggu ini,” katanya.
Rafizi juga turut menggesa polis turut segera menyiasat berhubung pendedahan dibuatnya yang melibatkan seorang bekas Timbalan Menteri Pertahanan sebelum ini.
“Saya harap pihak polis juga bertindak secepat mungkin (seperti ini) untuk menyiasat laporan dibuat Sdr (Saudara) Akmal Nasir (Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir) terhadap Latiff Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad), mengenai pendedahan laporan forensik LCS yang menamakannya sebagai terbabit dalam kontrak-kontrak pertahanan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Rafizi menjelaskan bersedia untuk dipanggil susulan laporan dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek LCS.
Polis bagaimanapun memaklumkan Timbalan Presiden PKR itu dijangka dipanggil minggu depan.
Selasa lalu, satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Sayed Ahmad Mui’izzuddin Al-Sayed Mohamad terhadap Rafizi.
Laporan itu dibuat susulan kenyataan Rafizi yang mengaitkan Abd Latiff dan seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh didakwa isteri keduanya, turut terbabit dalam penyelewengan projek LCS.
Susulan laporan polis itu, Abdul Latiff dipanggil untuk diambil keterangan kelmarin.
Sementara itu, Eng Lai berkata, pihaknya mengesan dua video berkaitan kenyataan Rafizi yang dimuat naik menerusi akaun TikTok dan Instagram miliknya pada 25 Ogos lalu.