
Kes dadah.
Tembakan terhadap seorang lelaki sehingga menyebabkan kematian di Machang petang semalam dilepaskan daripada sebuah kereta Honda putih, kata polis.
Berdasarkan maklumat awal, pihak polis mengenal pasti suspek dua lelaki menaiki kereta jenis Honda melepaskan beberapa das tembakan terhadap mangsa di hadapan sebuah bengkel di Jalan Hutan Kuin, Machang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata dalam kejadian jam 5.45 petang itu, mangsa berusia 38 tahun yang juga seorang peniaga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Berdasarkan maklumat awal, suspek adalah dua lelaki yang tidak dikenali menaiki sebuah kereta Honda putih melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pemandu, yang berada dalam pikap.
“Mangsa yang berada di bahagian pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta tampil membantu pihak polis dengan menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki meninggal dunia dipercayai ditembak di hadapan kedai alat ganti kenderaan di Kampung Hutan Kuin, di sini.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu pikap berhenti untuk membeli alat ganti kenderaan.