POCA: Ahli perniagaan gagal rayuan habeas corpus

July 30, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan seorang ahli perniagaan, Goh Leong Yeong supaya writ habeas corpus dikeluarkan untuk pembebasannya setelah direman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 atas dakwaan melakukan kegiatan perjudian dalam talian secara haram.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat menolak rayuan yang dikemukakan Goh atau lebih dikenali sebagai Alvin Goh selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan writ habeas corpusnya.

Keputusan majoriti itu diperoleh daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Abdul Rahman Sebli manakala Hakim Ong menentang.

Dalam keputusan majoriti mahkamah, Hakim Zabariah memutuskan penahanan Goh mengikut Seksyen 4 (1) (a) POCA adalah bersifat akademik selepas tahanan remannya telah berakhir dan dia (Goh) tidak lagi ditahan di bawah seksyen itu.

“Pengeluaran writ habeas corpus tidak memberi sebarang makna untuk penahanan di bawah Seksyen 4 (1)(a) kerana ia sudah berakhir apabila dibawa ke Mahkamah Tinggi. Tentangan seperti itu telah menjadi akademik,” katanya dan menambah permohonan untuk habeas corpus mestilah ditujukan bagi perintah tahanan semasa.

Memetik laporan Bernama, Hakim Zabariah juga berkata perintah reman selama 21 hari yang dikeluarkan Majistret pada 31 Okt tahun lepas supaya Goh direman di bawah Seksyen 4(1)(a) adalah sah dan kerana keperluan prosedur yang ditetapkan di bawah seksyen itu telah dipenuhi.

Rayuan Goh adalah berhubung perintah reman awalnya selama 21 hari dari 31 Okt tahun lepas mengikut Seksyen (4(1)(a) POCA untuk membantu siasatan berhubung sindiket perjudian dalam talian yang didakwa menyalahi undang-undang. Dia kemudiannya ditahan selama 38 hari di bawah Seksyen 4(2)(a) POCA.

Seorang daripada peguamnya, Jacky Loi Yap Loong berkata Goh, 33, sekarang berada di bawah tahanan selama dua tahun di Penjara Simpang Renggam di bawah POCA.

Pada 16 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Goh untuk writ habeas corpus selepas bersetuju dengan bantahan awal yang dibangkitkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti, yang mewakili pihak responden, bahawa permohonan Goh telah menjadi akademik kerana dia kini ditahan di bawah perintah yang berbeza di bawah POCA.

Goh memfailkan permohonan habeas corpus itu dengan menamakan pegawai penyiasat ASP Khairul Fairoz Rodzuan, seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku responden

Dalam keputusannya, Hakim Zabariah berkata dalam keadaan apabila seseorang itu tidak lagi ditahan di bawah seksyen tertentu, writ habeas corpus terhadap penahanan sedemikian sepatutnya tidak dikeluarkan.

“Ini adalah bagi alasan dan logik mudah bahawa seseorang yang telah dibebaskan tidak boleh diperintahkan untuk dilepaskan,” katanya.

Hakim Zabariah juga berkata Seksyen 4 POCA adalah berperlembagaan dan tidak melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Ong dalam keputusan menentangnya, membenarkan rayuan Goh dan mengeluarkan writ habeas corpus untuk pembebasannya.

Dalam prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian, sepasukan lapan peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Goh manakala Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti dan Farah Ezlin Yusop bagi pihak responden.

Berita berkaitan
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024· Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024· Isu semasa
Ahli perniagaan didakwa guna gelaran Dato Sri palsu
January 5, 2024· Isu semasa
Polis segerakan siasatan dalam kes langgar pelajar sehingga maut
December 16, 2023· Isu semasa
Popular
BNM dijangka naikkan OPR 25 mata asas lagi bulan depan
October 21, 2022
Kenali pereka kasut, Jimmy Choo
November 6, 2021
Harga roti Gardenia naik 1 Disember
November 25, 2021
Banjir: Tiga beradik maut kena renjatan elektrik di Kelantan
December 19, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok