Pendakwaan tutup kes rasuah RM2.8 juta Bung Moktar, Zizie Izette

May 17, 2022 · Isu semasa

Pihak pendakwaan menutup kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, hari ini, selepas memanggil 30 saksi memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memberitahu perkara itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, selepas saksi pendakwaan terakhir yang juga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsharil Saharom, 37, selesai memberikan keterangan.

Terdahulu, Chin How menawarkan lapan lagi saksi membabitkan kakitangan Felcra, Public Bank dan SPRM kepada pasukan pembelaan.

Bagaimanapun, peguam mewakili Zizie Izette Datuk K Kumaraendran menolak tawaran Chin How yang disifatkan tiada keperluan ketika ini.

Hakim kemudian memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis selewat-lewat 17 Jun depan, manakala hujahan lisan pula pada 24 Jun, sebelum mahkamah memutuskan sama ada Bung Moktar dan Zizie Izette dibebaskan atau diarahkan membela diri.

Seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil, termasuk bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra Dr Habibah Suleiman; dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad, iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid, memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 2 Januari 2020.

Pada prosiding hari ini, mahkamah diberitahu dua perunding unit amanah itu tidak diugut, dipaksa dan dijanjikan apa-apa ketika sesi rakaman percakapan oleh SPRM berhubung kes rasuah berkenaan.

Sesi itu dijalankan terhadap Norhaili serta Madhi di bilik bawah tanah tanpa tingkap di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 2016 dan 2018.

Saksi pendakwaan ke-28 yang juga pegawai penyiasat SPRM Hazlina Rahmat, 41, berkata Nurhaili kelihatan tenang dan baik ketika sesi rakaman percakapan berkenaan pada 2016.

“Bilik itu ada pendingin hawa dan tiada tingkap. Saya setuju jika orang yang kali pertama masuk bilik itu akan takut sedikit.

“Kalau Nurhaili rasa gementar, saya akan tenangkan dia dan beritahu siasatan untuk apa. Tiada ugutan, paksaan dan janjikan apa-apa,” katanya seperti dilapor BH.

Ditanya peguam Bung Moktar, M Athimulan, sama ada seorang lagi pegawai penyiasat SPRM, Mohd Haris Ibrahim, 42, ada bersama ketika sesi rakaman keterangan itu, Hazlina memaklumkan ada tetapi bukan sepanjang masa.

“Dia (Mohd Haris) hanya masuk beri penerangan sekejap dan selepas itu dia keluar,” katanya.

Hazlina turut bersetuju dengan cadangan Athimulan bahawa penerangan itu ialah mengenai apa yang perlu direkod mengikut kehendak siasatan.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-29 dan pegawai penyiasat SPRM, Saiful Amir Hamzah, 33, berkata bilik merakam keterangan Nurhaili pada 2018 adalah selesa dan dilengkapi dua kerusi.

“Bilik itu tiada tingkap tetapi ada cermin. Saya merekod keterangan Nurhaili di bilik berkenaan mengikut arahan Ketua Pengarah SPRM ketika itu,” katanya.

Norsharil pula memberitahu mahkamah, Madhi diberikan masa untuk keluar dan masuk bilik mengikut keperluan seperti solat, ketika sesi rakaman percakapan dibuat.

“Seingat saya, tujuan rakaman percakapan berkaitan pelaburan Public Mutual berjumlah RM150 juta oleh pihak Felcra dan dokumen berkaitan yang saya peroleh,” katanya.

Bung Moktar, 64, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Berita berkaitan
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Popular
Wisma Putra sahkan Ebit Lew masih teruskan misi bantuan Palestin
June 12, 2021
Baik buruk media sosial
March 26, 2022
Doktor sertai mogok umum tak beretika, moral rendah
July 26, 2021
Tuntut cerai: Mahkamah perintah Khir Toyo, isteri lantik Hakam Islah
June 27, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok