Najib arah saya tandatangan laporan audit 1MDB 2013, kata saksi

April 21, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak telah ‘mengarahkan’ Tetuan KPMG Malaysia untuk menandatangani Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun 2013, ketika pertemuan firma itu dengan 1MDB yang diadakan di kediaman bekas perdana menteri itu di Langgak Duta pada 15 Dis 2013.

Rakan Kongsi Pengurusan tetuan itu Datuk Johari Idris, 56, berkata pertemuan itu diadakan bagi memaklumkan Najib mengenai isu dihadapi KPMG, yang menyebabkan laporan audit syarikat itu tidak dapat dikeluarkan, selain pihak KPMG juga ingin mendengar sendiri daripada Menteri Kewangan itu, sama ada beliau tahu atau tidak berkenaan pelaburan berjumlah US$2.3 billion di Cayman Island Brazen Sky di Cayman Island.

“Sebelum perjumpaan berakhir, Najib menyatakan ingin melihat akaun 1MDB ditandatangan oleh KPMG sebelum atau pada 31 Dis 2013, namun saya tidak memberikan sebarang respons kepada beliau,” kata saksi pendakwaan ke-14 itu seperti dilapor Bernama.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya T Deepa Nair apakah reaksi saksi kepada (keinginan Najib untuk melihat akaun 1MDB ditandatangan KPMG), saksi menjawab “seolah-olah ia adalah arahan kepada saya”.

Johari berkata dalam mesyuarat berkenaan, Najib juga menyatakan bahawa beliau (Najib) sedia maklum mengenai pelaburan 1MDB di Brazen Sky, namun beliau memaklumkan bahawa 1MDB tidak boleh mendedahkan butiran terperinci mengenai pelaburan berkenaan kerana ia adalah sulit.

“Najib juga mempersoalkan mengapa KPMG masih menimbulkan syak terhadap ‘underlying assets’ tersebut. Beliau juga bertanyakan kepada saya, sama ada saya boleh menerima penjelasan tersebut dan sama ada penjelasan ini mencukupi bagi pihak KPMG untuk mengeluarkan laporan audit (yang tidak bersyarat).

“Namun saya menyatakan bahawa saya memerlukan bukti bagi melengkapkan proses audit mengikut peruntukan, seperti mana tertera dalam ‘International Standard of Auditing (ISA)’ dan ‘Financial Reporting Standard (FRS)’, di mana peraturan FRS juga termaktub di dalam Akta Syarikat 1965.

“Saya memaklumkan sekiranya pihak KPMG tidak dapat melengkapkan proses pengauditan pelaburan 1MDB, maka kami akan mengeluarkan laporan bertegur ‘Disclaimer of opinion’ terhadap akaun 1MDB,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan Najib, berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Johari berkata Najib juga menyuarakan kerisauan terhadap kelambatan penyediaan akaun dan beliau ingin mengetahui status audit 1MDB, selain menanyakannya mengapa pihak KPMG tidak boleh menerima pengesahan yang dibuat oleh pihak BSI Bank, yang merupakan ‘custodian’ bagi pelaburan di Brazen Sky iaitu subsidiari kepada 1MDB.

“Saya telah menyatakan bahawa pihak BSI Bank tidak memberikan butiran lengkap kepada KPMG untuk menyelesaikan mengaudit ‘underlying assets’. Tanpa maklumat tersebut, pihak KPMG tidak boleh menjalankan prosedur audit untuk mengesahkan bahawa penilaian tersebut adalah betul,” katanya.

Johari juga mengesahkan bahawa Najib menyatakan beliau telah dimaklumkan bahawa Bridge Partners (syarikat dana swasta), tidak dapat menyediakan maklumat yang diperlukan kerana peruntukan undang-undang dan ‘trade secret’ dana tersebut.

“Najib kemudiannya bertanya kepada saya, bagaimana untuk 1MDB mendapatkan maklumat tersebut. Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin (bekas pengarah 1MDB) telah meminta KPMG untuk berlaku adil dan tidak meminta sesuatu yang tidak boleh 1MDB sediakan.

“Saya sekali lagi telah menyatakan bahawa akaun 1MDB perlu disediakan berdasarkan prinsip FRS dan Akta Syarikat.

“Sekiranya 1MDB tidak patuh kepada ‘accounting standard’ tersebut, ia bermakna bahawa 1MDB tidak patuh kepada undang-undang. Memandangkan maklumat dana tersebut adalah mustahak bagi pengauditan 1MDB, tanpa maklumat tersebut akan menyebabkan skop yang terhad bagi pihak KPMG, ia akan menyebabkan KPMG mengeluarkan laporan audit bersyarat dalam bentuk ‘Disclaimer of Opinion’,” katanya.

Beliau berkata Najib kemudiannya meminta pengurusan 1MDB untuk berurus dengan pihak Bridge Partners untuk memberikan maklumat diperlukan oleh KPMG, bagi membantu di dalam proses pengauditan.

Johari berkata Najib juga meminta pihak KPMG untuk pergi ke Hong Kong bagi melengkapkan proses audit, dan mahu audit dibuat dengan profesional dan konsisten dengan ‘good governance’.

Menurut saksi di dalam perjumpaan tersebut juga, Najib memberitahu bahawa beberapa orang telah maklum mengenai pertemuan yang dibuat, dan meminta Tetuan KPMG untuk bertindak dengan penuh profesional dan mengekalkan kerahsiaan klien.

“Saya menyatakan bahawa KPMG telah dan akan menjalankan tugas dengan profesional. Sebarang urusan atau perbincangan mengenai 1MDB, hanya diketahui ‘engagement team’ yang ketika itu diketuai wakil KPMG iaitu Ahmad Nasri Abdul Wahab dan ‘chain of command’ sahaja, dan tiada pihak lain yang akan mempunyai pengetahuan mengenai 1MDB,” katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 9 Mei.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
8 jam lalu· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Popular
Minyak botol vs minyak peket
July 20, 2022
Wisma Putra sahkan Ebit Lew masih teruskan misi bantuan Palestin
June 12, 2021
Skandal LCS: TLDM kalah bertempur sejak awal, kata bekas panglima
August 15, 2022
KKM sahkan bantu WHO kaji tiga jenis ubat rawat Covid-19
August 13, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok