Kumpulan serpihan dalangi penyeludupan PATI ke Malaysia

May 6, 2022 · Isu semasa

Kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) dari Indonesia ke Malaysia kini didalangi kumpulan serpihan daripada sindiket utama yang ditumpaskan hasil kerjasama kedua-dua negara pada Februari lalu.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maratim Malaysia) percaya walaupun sindiket utama telah tumbang, saki-baki anggotanya kini menjalankan kegiatan penyeludupan PATI ke Malaysia.

“Penyeludupan PATI masih berlaku, tetapi didalangi kumpulan serpihan menggantikan sindiket utama selepas ia tumbang.

“Kita syak ahli sindiket itu daripada kumpulan yang sama kerana untuk terbabit dalam rangkaian penyeludupan PATI ini, mereka memerlukan ilmu di laut, rangkaian pekerja, selain modal yang besar.

“Kita tidak pandang rendah kemunculan sindiket serpihan ini, kerana jika tak dibendung dari awal, kita risau sindiket serpihan ini mampu menjadi seperti sindiket utama yang ditumpaskan, atau lebih besar dari itu,” kata Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.

Mengulas kejayaan menumpaskan sindiket utama itu, beliau berkata hasil perkongsian maklumat di antara pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia, ketua sindiket penyeludupan terbesar yang mendalangi keluar masuk puluhan ribu PATI sejak 10 tahun lalu dikenali sebagai Acing atau nama sebenarnya Susanto, berjaya ditahan di negara jiran itu.

Menurutnya kejayaan melumpuhkan sindiket utama pada Februari lalu adalah susulan penahanan tekong, pembantu tekong bersama lapan PATI ketika cuba menyusup keluar menerusi Teluk Ramunia, Kota Tinggi, pada 28 Januari lalu.

Memetik laporan BH, penahanan 10 suspek warga Indonesia itu membolehkan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci mengenai penyeludupan migran yang menjadikanperairanJohor Timur sebagai laluan utama mereka.

“Hasil soal siasat, 10 suspek terutama tekong dan pembantu tekong itu membawa kepada maklumat bahawa sindiket berkenaan menjadi dalang utama tiga tragedi bot pancung karam yang berlaku di perairan negeri ini iaitu Teluk Balau (Disember lalu) serta Teluk Ramunia dan Pontian (Januari lalu).

“Sebaik mendapat maklumat penting mengenai sindiket berkenaan Maritim Malaysia dan PDRM berkongsi maklumat yang diperoleh bersama Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) dan Kepolisian Negara Republik Indonesia (POLRI).

“Maklumat itu akhirnya membawa kepada penahanan dalang utama sindiket penyeludupan PATI terbesar di Indonesia yang sudah aktif sejak lebih 10 tahun lalu dengan mengaut keuntungan dipercayai puluhan juta ringgit dengan menyeludup manusia dari republik itu ke Malaysia dan sebaliknya.

“Penahanan ketua sindiket itu dikenali sebagai Acing itu, berjaya melumpuhkan sindiket terbesar penyeludupan migran itu, apatah lagi pengurus sindiket berkenaan yang juga orang kepercayaan Acing yang dikenali sebagai Busra, turut berjaya ditahan,” katanya.

Tahun lalu, menyaksikan 21 PATI maut akibat mati lemas dalam insiden bot karam ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini manakala tahun ini setakat April lalu, seramai 12 PATI maut akibat insiden sama.

Apatah lagi tiga tragedi bot karam berlaku secara berturutan bermula Disember hingga Januari lalu.

Pada 15 Disember tahun lalu, seramai 21 orang PATI lemas, manakala 46 lagi hilang selepas bot pancung yang menyeludup mereka masuk ke negara ini terbalik dan karam dalam tragedi kira-kira 20 meter daripada pantai Tanjung Balau, di Kota Tinggi, di sini, awal pagi berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, 10 mangsa disahkan meninggal dunia, empat lagi mangsa ditemui selamat, manakala 46 mangsa lagi hilang.

Pada 18 Januari lalu, enam PATI lagi ditemukan lemas, seorang kritikal dan enam lagi terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Pisang, kira-kira 4.2 batu nautika dari Pantai Pontian Besar, di sini, pada 12 tengah malam berkenaan.

Kejadian itu berlaku akibat ombak yang dipercayai setinggi tiga meter membadai bot fiber sepanjang 7.62 meter yang dinaiki seramai 11 Pati wanita dan dua tekong yang kesemuanya adalah warga Indonesia.

Dua hari selepas insiden itu iaitu pada 20 Januari lalu, enam PATI warga Indonesia mati lemas dalam insiden bot karam kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi.

Mengulas lanjut, Nurul Hizam berkata, maklumat penting yang akhirnya menumpaskan sindiket penyeludupan PATI terbesar itu diperoleh dalam tempoh 14 hari ketika 10 warga Indonesia termasuk tekong, pembantunya selain lapan PATI berjaya ditahan 10 hari selepas tragedi bot karam di Teluk Ramunia, Pengerang, Januari lalu.

“Dalam tempoh reman 14 hari, siasatan yang dilakukan berjaya dapatkan maklumat penting dan dikongsikan kepada pihak berkuasa Indonesia.

“Maklumat itu membawa penahanan ketua sindiket yang sudah lama diburu pihak berkuasa Indonesia.

“Kita sangat berterima kasih dengan Indonesia atas sokongan dan kerjasama negara itu banyak dari kes penyeludupan PATI berjaya diselesaikan. Indonesia berikan sokongan sangat baik dan hubungan kita berada pada tahap terbaik,” katanya.

Berita berkaitan
Zakir Naik akan kembali ke Malaysia, bagaimana pendirian DAP?
March 28, 2023· Isu semasa
Bekalan mulai stabil selepas kemasukan telur import: Mat Sabu
March 19, 2023· Isu semasa
Bahagian Selatan Laut Maluku, Indonesia digegar gempa bumi
March 8, 2023· Dunia
Keadaan banjir semakin buruk, ada kanak-kanak lemas dan jalan ditutup
March 2, 2023· Isu semasa
Popular
KWSP: Kenapa PH-BN gagal fahami kesusahan, keterdesakan rakyat?
March 30, 2023
KWSP: Seorang pencarum berjalan dari Johor ke Istana Negara tuntut pengeluaran
March 29, 2023
Basikal lajak: Rayuan terakhir Sam Ke Ting, apa yang perlu diketahui
March 31, 2023
RM60.71b tambahan bajet terbesar dalam sejarah, kata Mat Maslan
March 30, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Basikal lajak: Rayuan terakhir Sam Ke Ting, apa yang perlu diketahui
2 jam lalu · Isu semasa
Wan Saiful terus beri semangat kepada pencarum KWSP jalan kaki
2 jam lalu · Isu semasa
MB Kedah arah agensi negeri beri komitmen 100% acara Persekutuan
2 jam lalu · Isu semasa
Enam stesen LRT diberhentikan operasi, baiki landasan
2 jam lalu · Isu semasa
RM420 juta belanja enam PRN
16 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Machang tak buat laporan polis, dakwaan Jelutong berniat jahat
March 29, 2023
[VIDEO] Bantah bahasa Inggeris dalam RUU, Besut digantung tiga hari
March 29, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok