Usaha memerangi dan mengekang penularan wabak Covid-19 tidak akan mencapai matlamatnya tanpa didukung oleh setiap lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu, katanya, kaedah terbaik bagi menangani penularan wabak berkenaan di dalam masyarakat adalah dengan komuniti itu sendiri memainkan peranan sebagai pasukan barisan hadapan.
“Justeru, program Pemerkasaan Komuniti ini adalah senjata yang kita ada dalam usaha untuk bersama-sama membendung penularan virus Covid-19 ini,” katanya dalam ucapan sempena Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, hari ini.
Katanya, usaha ini juga selaras dengan strategi dalam Dasar Perpaduan Negara untuk memperkasakan institusi keluarga dan komuniti yang telah dilancarkannya pada 15 Februari lalu.
Beliau menegaskan bahawa sehingga vaksin Covid-19 dapat mencapai sasaran ditetapkan, negara masih mengharungi suatu tempoh yang sukar dalam memerangi wabak itu kerana bilangan kes masih tinggi walaupun kes positif baharu kini semakin menurun.
Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di negara ini menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan wabak itu.
Kerajaan juga katanya, telah, sedang dan akan menggerakkan beberapa inisiatif Pemerkasaan Komuniti bagi menghadapi ancaman penularan Covid-19 termasuk memperkenalkan Program Agent Basmi Covid-19 (ABC-19) melalui pendekatan ‘Whole-of-Society’ yang digerakkan oleh agensi, kepimpinan komuniti dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.
Beliau berkata, pelbagai isu dan cabaran ketika menghadapi Covid-19 dihadapi oleh komuniti memerlukan pendekatan kolektif yang inovatif dan kreatif, maka pemerkasaan komuniti secara komprehensif amat penting sebagai salah satu usaha memerangi pandemik Covid-19.
“Saya sekali lagi menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar terus bermuafakat demi merealisasikan hasrat menamatkan wabak Covid-19 dan memacu kembali pembangunan serta kesejahteraan negara yang kita sayangi ini, Insya-Allah,” katanya.