
Sanusi menyaman Saifuddin Nasution kerana menfitnahnya.
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah menepis dakwaan jabatan itu mengeluarkan kompaun terhadap Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkait kecurian unsur nadir bumi (REE).
Pengarah PTG Kedah, Datuk Md Suhaimi Abd Rahman berkata notis kompaun itu dikeluarkan kepada Perbadanan Menteri Besar (MBI) pada 5 Oktober 2022 bukannya kepada Muhammad Sanusi.
Menurutnya, MBI merupakan pemegang permit guna tanah sejak 2015 dan selaku agensi di bawah kerajaan negeri ia berfungsi sebagai syarikat yang terbabit dalam pelbagai projek usahasama serta perlu dipengerusikan mana-mana menteri besar yang mentadbir Kedah.
“Pada 2015, MBI diberikan kelulusan permit guna ladang hutan di Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik dan dalam proses itu sebahagian kawasan itu turut dibangunkan dengan ladang solar oleh pihak swasta.
“Pada masa sama, kawasan itu diketahui sejak zaman bekas Menteri Besar, (Allahyarham) Tan Sri Azizan Abdul Razak mengandungi bahan mineral berharga namun tidak diteroka kerana kita tidak mempunyai kepakaran ketika itu.
“Hanya apabila zaman Muhammad Sanusi wujud kepakaran mengenai bahan mineral dikenali sebagai unsur nadir bumi (REE) dan dilantik konsultan bagi melakukan penerokaan yang tertakluk di bawah bidang kuasa Pengarah PTG,” katanya, lapor Harian Metro, hari ini.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam ceramah di Guar Chempedak, Gurun mendakwa Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dikompaun RM500,000 kerana kesalahan mencuri REE.
Namun Muhammad Sanusi menafikan dakwaan itu sambil menyifatkan kenyataan Saifuddin tersebut satu fitnah, malah dalam surat kompaun yang didakwa tidak menyebut namanya tetapi nama individu lain yang menceroboh tanah dan mencuri sumber galian tersebut.
Sementara itu, Md Suhaimi berkata pihak berkuasa mengesan terdapat lori membawa keluar bahan mineral itu terbabit kemalangan di Sik pada September tahun lalu.
Katanya, berikutan kes itu berlaku di luar kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang, maka PTG Kedah bertindak melakukan siasatan yang selesai pada 28 September sebelum laporan mengenainya dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri pada 2 Oktober.
“Notis tawaran kompaun pada 5 Oktober itu jelas menamakan MBI dan seorang individu lain, PTG tidak letak nama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi kerana MBI selaku pemegang permit guna tanah bertanggungjawab sepenuhnya di kawasan itu.
“Muhammad Sanusi selaku Menteri Besar mempunyai hak untuk mencelah dalam notis kompaun berkenaan tetapi beliau tidak berbuat demikian dan individu terbabit kemudian membayar denda maksimum RM500,000 pada 5 ktober.
“Perkara ini umpama ada individu menyewa rumah dan mengedar dadah di rumah itu, maka tuan rumah turut kena sapina kerana dia adalah pemilik rumah, maka kita tidak boleh kata Menteri Besar yang mencuri dalam kes ini,” katanya.