Kes penceramah pro-PH hina Sultan Selangor, mahkamah tolak permohonan Wan Ji

August 14, 2023 · Isu semasa

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak permohonan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin untuk merujuk isu perlembagaan membabitkan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 yang dihadapinya ke Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suarat membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan selaku responden terhadap permohonan yang dikemukakan Wan Ji, 41, menurut laporan Bernama.

Hakim Vazeer Alam dalam penghakimannya berkata mahkamah bersetuju dengan bantahan awal yang dibangkitkan responden bahawa Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

“Apa-apa persoalan undang-undang boleh diutarakan semasa pendengaran rayuan dalam kes ini kelak. Oleh itu, permohonan dalam notis usul (Wan Ji) ditolak,” kata Hakim Vazeer Alam yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Terdahulu, peguam Muhammad Faiz Fadzil mewakili Wan Ji memohon agar mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan dihadapinya ke Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling membantah permohonan itu atas alasan Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan, namun tiada bidang kuasa untuk merujuk persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.

“Persoalan undang-undang juga tidak dibangkitkan (perayu) di peringkat Mahkamah Tinggi mahupun permohonan untuk merujuknya ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Sept ini untuk mendengar rayuan Wan Ji terhadap hukuman penjara setahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Julai 2019 selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menambah hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018.

Bagaimanapun, mahkamah itu membenarkan permohonan Wan Ji untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara setahun sehingga rayuannya di Mahkamah Rayuan selesai.

Wan Ji didapati bersalah atas dakwaan menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini pada 10 pagi, 5 Nov 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Berita berkaitan
Permohonan lelaki bunuh kekasih hamil dirujuk psikiatri ditolak mahkamah
3 jam lalu· Isu semasa
Kemenangan Ahli Parlimen Kemaman di batalkan mahkamah
3 jam lalu· Politik
Kumpulan peguam persoal PH dan PMX membisu hukuman penjara Wan Ji
6 jam lalu· Isu semasa
Peguam Bersatu dakwa PMX sasarkan MP Putrajaya secara sistematik selepas dikecam
September 25, 2023· Politik
Popular
Kumpulan peguam persoal PH dan PMX membisu hukuman penjara Wan Ji
September 26, 2023
Mahkamah kembalikan perintah pengharaman buku Gay is Okay! A Christian Perspective”
September 25, 2023
Kedah dan Perlis dilanda banjir, PPS dibuka pindahkan mangsa
September 26, 2023
Gaduh kumpulan motosikal besar, seorang ditahan positif dadah
September 25, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Jangan gopoh, kata Mat Sabu ulas gesaan halang warga asing beli beras
3 jam lalu · Isu semasa
Kedah dan Perlis dilanda banjir, PPS dibuka pindahkan mangsa
6 jam lalu · Isu semasa
NGO desak tanah rizab Melayu dikembalikan di Sitiawan, pertikai langkah pindah milik
6 jam lalu · Isu semasa
Anggota pukul wanita dalam video tular sedang disiasat polis
21 jam lalu · Isu semasa
Penyusutan nilai sektor komoditi punca perdagangan negara susut: Liew
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Saya bukan saintis, boleh belajar proses REE dari Lynas, kata menteri
23 minit lalu
[VIDEO] Saya bukan orang jahat, SPRM tanya empat soalan REE, kata Sanusi
September 25, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok