
Data 7 Jun 2021
Jumlah kematian dan jangkitan Covid-19 hari ini menunjukan kes semakin turun, tujuh hari selepas Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) atau ‘total lockdown’ dilaksanakan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baharu yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi ialah 5,271, manakala 82 kematian pula direkodkan.
Pada 6 Jun negara mencatatkan 6,241 kes positif baharu; 5 Jun (7,452 kes); 4 Jun (7,748 kes); 3 Jun (8,209 kes); 2 Jun (7,703 kes); dan 1 Jun (7,105 kes).
Dalam tempoh sama kematian yang direkodkan ialah 87 kes pada 6 Jun; 5 Jun (109 kes); 4 Jun (86 kes); 3 Jun (103 kes); 2 Jun (126 kes); dan 1 Jun (71 kes)
Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, daripada 5,271 kes baharu itu, 14 daripadanya adalah kes import yang turut membabitkan 10 bukan warganegara.
“Sebanyak 7,548 kes sembuh hari ini menjadikan kumulatif sembuh sebanyak 534,357 atau 85.9%, manakala kes aktif pula naik kepada 84,269 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 902 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 447 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam tempoh itu juga katanya 23 kluster baharu membabitkan 549 individu positif Covid-19 dikesan menjadikan jumlah kluster aktif adalah 726.
Empat kluster baharu masing-masing dikesan di Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah; Negeri Sembilan (dua); dan masing-masing satu kluster di Kelantan; WP Kuala Lumpur; Pulau Pinang; Kedah; dan Terengganu.
Beliau berkata, 16 daripada kluster baharu itu membabitkan tempat kerja, enam kluster komuniti dan satu Kumpulan Berisiko Tinggi.
Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai norma baharu kehidupan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Pada masa sama beliau juga menasihati orang ramai, termasuk individu yang telah menerima vaksin Covid-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan.