
Kata Fahmi, sebarang tindakan ke atas platform itu masih dalam penelitian di mana SKMM akan membuat syor dan kerajaan akan membuat keputusan.
Menyedari penggunaan Telegram banyak digunakan oleh komuniti tertentu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan memastikan sebarang bentuk tindakan yang mungkin dikenakan ke atas aplikasi itu tidak terlalu menjejaskan penggunanya.
Katanya, setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih meneliti tindakan ke atas Telegram yang sehingga kini pengurusannya masih tidak memberikan kerjasama dengan kerajaan bagi membincangkan isu berkaitan kandungan dan salah guna aplikasi itu.
“Kita akan pastikan sekiranya diputuskan bahawa kerjasama di pihak Telegram tidak begitu positif maka apa-apa tindakan yang diambil tidak terlalu menjejaskan pengguna.
“Kita beri sedikit masa (kepada pengguna) supaya sekiranya perlu ada peralihan mencari medium platform yang baharu, kita akan maklumkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kota Kuala Muda di Sungai Petani, hari ini.
Namun katanya, sebarang tindakan ke atas platform itu masih dalam penelitian di mana SKMM akan membuat syor dan kerajaan akan membuat keputusan.
“Kita jangka mungkin tidak terlalu lama dari sekarang pihak kerajaan akan buat keputusan. Kita belum secara terperinci meneliti syor daripada SKMM tapi insya-Allah dalam masa yang tidak terlalu lama dari sekarang,” katanya.
Menurutnya, kementerian banyak menerima aduan berhubung kandungan dan salah guna aplikasi tersebut yang membimbangkan termasuk penjualan bahan pornografi, dadah dan aktiviti penipuan pelaburan.
Mengulas mengenai kenyataan Telegram yang dilaporkan tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik, Fahmi berkata pihaknya menyerahkan kepada SKMM untuk berhubung dengan pengurusan platform itu atau mengeluarkan kenyataan balas.