
Rasuah menyebabkan kemiskinan dan pembangunan ekonomi tidak stabil. -Gambar hiasan
Dalam politik Malaysia, kita lihat masih belum ada perubahan apabila sering dikaitkan isu salah guna dan rasuah.
Ketika ekonomi global berkembang secara mendadak pada abad ke-20, tahap rasuah juga meningkat. Adalah sukar untuk mengira kadar dan tahap rasuah secara global kerana kegiatan ini dilakukan secara rahsia.
Bank Dunia menganggarkan bahawa rasuah antarabangsa melebihi USD1.5 trilion setiap tahun atau 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan 10 kali lebih banyak daripada jumlah wang bantuan global. Namun, wujud nilai lain yang menganggarkan rasuah pada 2 hingga 5 peratus daripada KDNK global.
Jika kita merujuk kepada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 22 September 2022 lalu, baginda bertitah dengan tegas meletakkan rasuah sebagai punca kemiskinan terus merebak.
Selain menatijahkan kemiskinan, rasuah juga, titah baginda, menyebabkan kemunduran terus melanda, pertumbuhan ekonomi terbantut, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga.
Lebih memburukkan keadaan, hak rakyat menikmati perkhidmatan kerajaan seperti kesihatan dan pendidikan juga dinafikan.
Bukan sesuatu menghairankan apabila kita melihat sebuah negara atau negeri memiliki kekayaan khazanah, tetapi nasib penduduk tidak berubah, malah infrastruktur awam seperti jalan raya, sekolah dan jambatan seolah-olah berada pada zaman prakemerdekaan.
Mengubah sesuatu dianggap norma tentulah menuntut komitmen cukup besar. Begitu juga rasuah. Terpekik menolak rasuah sahaja tidak cukup untuk memastikan jenayah ini dihentikan.
Namun, harus diingatkan, sikap sambil lewa dan mengambil mudah terhadap jenayah rasuah akan menyebabkan bukan sahaja rakyat, bahkan negara berisiko musnah.
Demikian titah Sultan Nazrin menegaskan apabila tiada kesungguhan membanteras rasuah, perlakuan itu akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan negara bangsa.
Justeru, langkah pemulihan wajar diambil segera. Sultan sudah bertitah, maka giliran rakyat menjunjung perintah.
Bagi menghadapi situasi cukup meruncing ini, tentulah orang Melayu dalam dilema kerana mereka menganggap perubahan hanya boleh dilaksanakan pemimpin sahaja.
Malangnya, orang Melayu berpecah-belah kerana perbezaan parti politik pelbagai ideologi walaupun dipimpin mereka memiliki anutan agama dan bangsa sama.
Mendepani kesulitan dan krisis ini, cendekiawan perlu membantu rakyat membincangkan model kepemimpinan baharu mempunyai kualiti melakukan perubahan.
Selain itu, rasuah seakan telah menjadi cara hidup di beberapa negara. Pada tahun 2018, Transparency International (TI) melaporkan bahawa dua pertiga warga Bangladesh dan lebih daripada separuh rakyat India telah memberi rasuah dalam dua belas bulan sebelumnya.
Pada tahun 2017 pula, laporan itu juga melaporkan bahawa satu daripada empat orang di seluruh dunia telah memberi rasuah selama 12 bulan untuk mengakses perkhidmatan awam. Hampir 57 peratus orang di seluruh dunia merasakan bahawa kerajaan mereka tidak melakukan apa-apa untuk memerangi rasuah, sementara hanya 30 peratus yang percaya bahawa kerajaan mereka berusaha dengan baik dalam memerangi rasuah.
Kajian Transparency International pada tahun 2017 juga menunjukkan di seluruh dunia bahawa kira-kira satu pertiga orang menganggap ketua mereka, perdana menteri, pegawai kerajaan negeri dan tempatan, pengarah syarikat, wakil rakyat dan pegawai polis melakukan rasuah.
Pegawai polis dilihat paling banyak mengamalkan rasuah di Afrika sub-Sahara (47 peratus) dan Asia Pasifik (39 peratus). Ini dianggap sebagai kecaman yang dahsyat mengenai sejauh mana konsep-konsep rasuah global pada era ‘homo korupus’ ini, orang-orang yang sangat biasa dengan rasuah.
Kerana rasuah, ia menyebabkan kemiskinan dan pembangunan ekonomi tidak stabil. Pada tahun 2017, hampir 10 peratus orang Asia, iaitu sekitar 400 juta orang, hidup dalam kemiskinan yang melampau. Kerana amalan rasuah ini juga, ia membantutkan pengaliran dana yang diperuntukkan untuk memulihkan kemiskinan. Negara-negara seperti Bangladesh, China, India, Indonesia, Malaysia, Nepal, Thailand dan Filipina tidak terkecuali menghadapi masalah rasuah ini.
Sekiranya negara-negara membangun dapat mengawal rasuah dan menegakkan undang-undang, anggaran pendapatan per kapita Bank Dunia akan berlipat kali ganda dalam jangka masa panjang. Rata-rata, sektor perniagaan dapat berkembang tiga peratus lebih cepat daripada kebiasaannya.