Banjir: Sesi pembelajaran 31 sekolah di Johor esok ditangguh

Pelajar di 31 sekolah di Johor yang kini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir, tidak perlu hadir ke sekolah apabila sesi pembelajaran penggal ketiga dibuka semula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Mazlan Bujang berkata sebanyak 23 sekolah di empat daerah masih digunakan sebagai PPS bagi menempatkan mangsa banjir, termasuk pelajar dan guru.

PPS itu melibatkan masing-masing lapan di Segamat dan Tangkak, Muar (lima) dan Batu Pahat (dua) manakala lapan sekolah lagi iaitu empat di Tangkak, Segamat (tiga) dan Muar (satu), masih dinaiki air, lapor Bernama.

“Sekolah-sekolah ini ditutup kerana dijadikan PPS dan akan terus dijadikan PPS sehingga banjir selesai. Sekolah yang dinaiki air juga akan terus ditutup sehingga proses pembersihan selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Program Festival Permainan Tradisional Negeri Johor 2021 di Savanna Hill Resort, di Johor Bahru, hari ini.

Mazlan berkata setakat ini seramai 369 pelajar dan tiga orang guru masih berada di PPS kerana terjejas dalam bencana banjir.

Sementara itu, mengenai permainan tradisional, Mazlan berkata kerajaan negeri telah menawarkan diri untuk menganjurkan Pesta Permainan Tradisional Malaysia (Petra) tahun ini, bagaimanapun perkara itu masih dalam peringkat awal perbincangan.

“Kita sudah menyatakan kesanggupan dari segi fasiliti dan kewangan bahawa Johor sedia untuk menganjurkan Petra. Kita tunggu lampu hijau daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR