
Kejadian tanah runtuh dan jalan raya rosak akibat bencana banjir baru-baru ini.
Seramai 28 penduduk daripada enam keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan risiko bencana tanah runtuh di Taman Chenderong Jaya, Batu Gajah, Ipoh tengah malam tadi.
Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, langkah segera diambil dengan memindahkan penduduk di Taman Chenderong Batu Jaya, Batu Gajah.
Jurucakap Sekreteriat Pengurusan Bencana Daerah berkata PPS itu dibuka di Dewan Serbaguna Tanjung Tualang pada 10.40 malam tadi selepas menerima aduan daripada penduduk, menurut laporan Bernama.
“Penduduk memaklumkan terdengar bunyi seperti pergerakan tanah dan pelbagai agensi keselamatan telah ke lokasi bagi pemantauan.
“Kejadian berlaku selepas hujan lebat dan tindakan susulan sedang dilaksanakan pihak berwajib,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya pelbagai agensi keselamatan sedang melakukan pemantauan di lokasi kejadian dan tiada mangsa cedera mahupun kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.