
UPKK bagi calon tahun 2020 dan 2021 yang dilaksanakan secara serentak tahun ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetap mengambil kira Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai salah satu komponen penilaian Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), yang dinilai oleh guru KAFA sekolah masing-masing.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh pihaknya sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan Covid-19 di negara ini khususnya dari aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan.
“Jakim dengan kerjasama semua agensi terlibat telah menyediakan pelan tindakan yang sewajarnya demi memastikan pelaksanaan UPKK tahun 2021 berjalan lancar.
“Selain itu, penilaian terhadap murid juga boleh dibuat melalui pelbagai kaedah termasuk dari aspek kaedah pelaksanaan UPKK,” katanya mengulas keresahan ibu bapa berkaitan pelaksanaan UPKK bagi calon tahun 2020 dan 2021 yang dilaksanakan secara serentak tahun ini.
Katanya, UPKK mempunyai lapan subjek yang terdiri daripada dua subjek amali, satu subjek ujian lisan dan lima subjek bertulis.
Beliau berkata, bagi dua subjek penilaian amali iaitu Mata Pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam, penilaian telah bermula dari awal takwim persekolahan tahun 2021.
“Ia berdasarkan penilaian sepanjang sesi persekolahan termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan dengan mengambil kira ujian bulanan dan aktiviti dalam dan luar bilik darjah,” katanya.
Abdul Aziz berkata bagi subjek al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah al-Quran, Hafazan dan Tafsir al-Quran, ia dinilai oleh Guru KAFA sekolah masing-masing yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 30 September 2021.
Manakala lima subjek bertulis iaitu Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab Kertas 1 & 2 dan Lughatul Quran akan dilaksanakan pada 4 hingga 7 Oktober 2021, katanya.