
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Kerajaan diharuskan memungut cukai daripada rakyat jika kewangan negara tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan, kepentingan negara dan kebajikan rakyat.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata isu pungutan cukai adalah isu yang berbeza dalam pandangan kalangan ulama, mengenai hukumnya antara harus dan haram.
“Pada pandangan peribadi saya masalah ini bergantung kepada keperluan semasa yang berubah-ubah.
“Jika ada keperluan untuk memenuhi kepentingan negara dan kebajikan rakyat jelata sedangkan Perbendaharaan negara tidak mencukupi untuk tujuan ini maka kerajaan atau ulil amri diharuskan memungut cukai ke atas rakyat.
“Ini hendaklah dilaksanakan secara yang adil, menurut tingkat ekonomi rakyat,” katanya, lapor BH.
Beliau mengingatkan, Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-106 sudah memutuskan bahawa adalah harus bagi kerajaan untuk mengutip cukai selagi mana terdapat keperluan dan maslahah untuk negara serta rakyat secara adil.
Merujuk isu waris si mati perlu membayar cukai tertunggak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), beliau berkata tiada perbezaan pandangan antaranya dan juga Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman jika isu yang berbangkit difahami secara menyeluruh.
“Pandangan yang kelihatan seolah-olah berbeza ini adalah berpunca daripada fokus yang diberikan. Saya memberikan fokus terhadap isu hutang yang gagal atau tidak sempat dibayar balik oleh si mati kepada pemiutang.
“Maka, beban tanggungjawab atau liabiliti hutang itu berpindah kepada waris si mati yang perlu diambil daripada harta peninggalannya sebelum pembahagian pusaka dibuat.
“Sebaliknya, Mufti Pahang lebih memberi fokus kepada hukum cukai berdasarkan kepada pandangan sebahagian ulama silam seperti Imam Izzuddin Abdussalam yang menolak kehendak Khalifah ketika itu untuk mengenakan cukai ke atas rakyat jelata,” katanya.
Jelasnya, lebih wajar isu berkenaan disemak semula Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Semalam, Pengerusi MKI, Datuk Dr Nooh Gadut dilaporkan berkata kajian syarak akan dijalankan berhubung peruntukan undang-undang yang memerlukan wakil sah atau pentadbir harta pusaka pembayar cukai yang meninggal dunia, membayar tunggakan cukai ditinggalkan si mati.
Inisiatif itu akan digerakkan Jawatankuasa Muzakarah MKI bersama JAKIM bagi mengelak kekeliruan umat Islam di negara ini mengenai pembayaran cukai tertunggak individu yang meninggal dunia.
Khamis lalu, BH dalam laporan eksklusif melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan cukai pendapatan si mati.
Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menetapkan, sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan sudah meninggal dunia.