
Pelitup muka tak lagi diwajibkan di kawasan sekolah.
Sesi persekolahan secara bersemuka bagi murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua sekolah rendah bermula 21 Mac lalu.
Kebanyakan murid-murid seperti sudah membiasakan diri dengan norma baru.
Mereka didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan mengambil suhu badan sebelum memasuki pekarangan sekolah.
Sekolah juga tidak mengadakan perhimpunan dan pelajar dibenarkan terus masuk ke dalam bilik darjah masing-masing.
Pada sesi persekolahan kali ini, ibu bapa tidak dibenarkan masuk dan hanya menghantar anak-anak mereka di luar pagar sekolah, ini bagi mengelakkan keadaan sesak dan menghindar penularan wabak di dalam kawasan sekolah.
Baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pembukaan penuh persekolahan secara berperingkat bermula hari ini membabitkan semua sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam pada itu, seharusnya kebimbangan dan kerisauan untuk menghantar anak-anak memulakan persekolahan perlu disertai dengan kesiapsiagaan ibu bapa memperlengkapkan diri anak-anak dengan kebiasaan baharu.
Sekiranya kita sebagai ibu bapa bimbang dan risau kesihatan dan keselamatan anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan ini begitu juga ibu bapa yang lain. Maka keprihatinan dan kebertanggungjawaban ibu bapa amat penting termasuk untuk memantau kesihatan anak-anak di rumah sebelum dihantar ke sekolah.
Ibu bapa perlu memeriksa suhu badan anak-anak bagi memastikan mereka tidak menunjukkan sebarang gejala tidak sihat sebelum keluar dari rumah untuk ke sekolah. Sekiranya pemeriksaan anak-anak mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius atau bergejala, maka ibu bapa perlu menghantarnya untuk pemeriksaan doktor atau melakukan pengasingan di rumah.
Selain itu, ibu bapa juga disaran menyediakan bekal makanan untuk anak-anak ke sekolah kerana ia bukan sahaja dapat mengurangkan pergerakan dan kesesakan ketika membeli di kantin, tetapi juga dapat memastikan makanan yang disediakan bersih, selamat dan memenuhi nutrisi yang diperlukan oleh setiap anak-anak. Amalan ini perlu dijadikan sebagai kebiasaan baharu persekolahan baik dalam tempoh Covid-19 mahupun selepas berakhirnya wabak berkenaan.
Selain itu, tindakan proaktif ibu bapa untuk sentiasa mengingatkan dan memberi kesedaran kepada anak-anak tentang tatacara persekolahan penjarakan sosial termasuk amalan jarak sosial dan kebersihan tangan sebelum, semasa dan selepas menaiki kenderaan; tidak berjabat tangan atau bersentuhan antara satu sama lain sama ada guru, rakan atau orang sekeliling dan sentiasa mengamalkan kebersihan tangan sebelum dan selepas makan. Selain itu, nasihatkanlah anak-anak agar tidak berkongsi makanan dan minuman dengan murid lain.
Ibu bapa sebaik-baiknya juga perlu merancang jadual pergerakan/kenderaan anak-anak untuk ke sekolah dan pejabat. Ini kerana langkah terbaik untuk mengatasi kebimbangan dan kerisauan akan keselamatan dan kesihatan anak-anak, adalah dengan menghantar dan mengambil sendiri anak-anak dari sekolah.