India sekat eksport: Harga produk berasaskan gandum dijangka naik

May 17, 2022 · Isu semasa

Harga produk berasaskan gandum dijangka melonjak susulan tindakan India menyekat eksport bahan mentah itu ke pasaran global, termasuk Malaysia, sekali gus bakal menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi dunia.

Langkah yang dilaksanakan bagi melindungi kepentingan pasaran domestik India itu juga dilihat menambah tekanan ke atas rantaian bekalan gandum global yang terjejas akibat krisis Russia-Ukraine.

Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata tindakan itu akan menyebabkan barangan tempatan berasaskan gandum akan menjadi lebih mahal, sekali gus boleh menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi.

“Situasi ini dijangka akan berterusan beberapa bulan lagi kerana bukan mudah meningkatkan kembali bekalan gandum dengan segera kerana ia bergantung kepada faktor cuaca dan permintaan peringkat domestik serta global.

“Justeru, rakyat Malaysia dinasihat berhemah dalam berbelanja dan mengutamakan barangan tempatan,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

India melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.

Harga gandum di India meningkat kepada rekod tertinggi dengan beberapa pasaran mencecah 25,000 rupee (RM1,418) satu tan, berbanding harga sokongan minimum ditetapkan kerajaan 20,150 rupee (RM1,143).

Bagaimanapun, kerajaan India menjelaskan, pihaknya masih membenarkan eksport membabitkan surat kredit sudah dikeluarkan serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.

Pembeli global mengharapkan negara pengeluar gandum kedua besar di dunia itu untuk bekalan selepas eksport dari wilayah Laut Hitam merudum susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Sebelum penguatkuasaan larangan itu, India menyasarkan untuk mencatat rekod eksport 10 juta tan gandum, tahun ini.

Larangan eksport oleh India itu boleh mengakibatkan harga global melonjak ke paras baharu, sekali gus menjejaskan pengguna miskin di Asia dan Afrika.

Peningkatan harga makanan dan tenaga mendorong inflasi runcit tahunan India melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun bulan lalu serta mengukuhkan pandangan ahli ekonomi bahawa bank pusatnya perlu menaikkan kadar faedah secara lebih agresif untuk mengekang harga.

Indonesia sebelum ini turut mengambil langkah menyekat eksport minyak sawit bagi mengekang kenaikan harga komoditi itu, di samping menjaga kepentingan pasaran domestiknya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata sesuatu yang tidak menghairankan apabila India menyekat eksport gandum bagi mengawal permintaan dalam negara yang memiliki populasi kedua tertinggi dunia selepas China.

“Susulan peperangan Russia dan Ukraine yang menjejaskan bekalan gandum dengan kedua-dua negara itu membekalkan 30 peratus daripada keperluan dunia, maka tidak mengejutkan India pula mengambil tindakan demi kepentingan domestik.

“Selain kekurangan bekalan, kenaikan harga gandum dunia menyebabkan India sukar memenuhi permintaan negara pengimport, jadi India perlu mementingkan rakyatnya dahulu,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, wujud juga gangguan imbangan pembayaran antara eksport dan import susulan kenaikan harga barangan termasuk gandum dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang menjurus kenaikan kadar inflasi dunia.

“Kenaikan harga gandum dunia mula memberi kesan kepada harga barang di Malaysia dan dijangka terus memberikan tekanan, apatah lagi ringgit lemah berbanding dolar AS.

“Ia dijangka berterusan kerana perang masih berlaku dan kemusnahan di Ukraine mengambil masa beberapa tahun untuk diperbaiki, itu pun seandainya perang tamat,” katanya.

Berita berkaitan
Mat Sabu kata bekalan bawang negara mencukupi
December 9, 2023· Isu semasa
Pengecualian visa 30 hari akan tingkatkan pelancong China: King Sing
December 5, 2023· Isu semasa
PM umum pengecualian visa untuk rakyat China dan India bermula 1 Dis
November 27, 2023· Isu semasa
Harga ayam tidak naik dan bekalan stabil: KPKM
November 1, 2023· Isu semasa
Popular
KKM sahkan bantu WHO kaji tiga jenis ubat rawat Covid-19
August 13, 2021
Skandal LCS: TLDM kalah bertempur sejak awal, kata bekas panglima
August 15, 2022
Dr. Sheikh Muszaphar kongsi cara didik anak
October 5, 2021
Usahawan PMKS, pekerja sokong syor Muhyiddin mudahkan bantuan
October 23, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok