HFMD meningkat 20 kali ganda, kes di Selangor membimbangkan: KKM

May 24, 2022 · Isu semasa

Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara meningkat pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 20 kali ganda dengan 47,209 kes dilaporkan setakat 21 Mei lalu berbanding hanya 2,237 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Bagi 2022, sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 20/2022 (21 Mei 2022), sejumlah 47,209 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 20 kali ganda berbanding pada tahun 2021 sehingga ME yang sama, iaitu hanya mencatatkan 2,237 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 15,548 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 yang berakhir pada 21 Mei yang menunjukkan peningkatan 106.6 peratus, berbanding ME sebelumnya dengan hanya 7,526 kes di seluruh negara.

“Peningkatan kes pada ME 20 telah dijangkakan berikutan pergerakan penduduk Malaysia ketika sambutan Aidilfitri.

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan prasekolah iaitu 711 wabak atau 61 peratus daripada kes keseluruhan, diikuti rumah persendirian dengan 407 wabak atau 35 peratus dan pusat jagaan kanak-kanak 42 wabak atau tiga peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya Selangor menyumbang jumlah kes terbesar HFMD dengan 13,640 kes iaitu 28.9 peratus daripada keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 6,206 kes (13.1 peratus); Perak 4,099 kes (8.7 peratus); Kelantan 3,726 kes (7.9 peratus); dan Sabah 3,352 kes (7.1 peratus) manakala negeri-negeri lain melaporkan kurang daripada 2,500 kes.

Beliau berkata 1,168 wabak dilaporkan di Malaysia dengan tiga negeri merekodkan wabak tertinggi ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 413 wabak (35.4 peratus) diikuti Selangor dengan 143 wabak (12.2 peratus) dan Perak dengan 130 wabak (11.1 peratus).

Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu 43,736 kes (93 peratus), diikuti kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun iaitu 2,765 kes (6 peratus), manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu 696 kes (satu peratus).

Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi.

Beliau juga memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menjalankan sesi libat urus dengan agensi yang menyelia pengurusan taska, tadika dan prasekolah sejak ME 17/2022 berikutan peningkatan kes HFMD di kebanyakan negeri.

Beliau berkata sesi tersebut memberikan penekanan kepada saringan di pintu-pintu masuk, amalan mencuci tangan menggunakan sabun dan air bersih, membersihkan dan melakukan basmi kuman alat permainan anak serta lantai rumah terutama tandas menggunakan larutan daripada peluntur.

Penekanan juga diberikan kepada pengurusan lampin pakai buang yang betul serta penggunaan peralatan makan dan minum berasingan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya tidak membawa anak ke tempat-tempat berisiko berlaku penularan jangkitan HFMD seperti taman permainan awam.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya melaporkan kejadian kes HFMD yang berlaku di taska, tadika dan sekolah kepada PKD berhampiran untuk tindakan kawalan.

Berita berkaitan
Radzi berharap Dr Noor Hisham terus menyumbang kepada negara
June 3, 2023· Isu semasa
Sambutan Aidilfitri: Ingat! Covid-19 masih ada
April 13, 2023· Isu semasa
Kes baharu Covid-19 minggu lalu naik selepas sekolah dibuka: KKM
April 4, 2023· Isu semasa
Pita perekat dalam pesawat AirAsia bukan isu keselamatan
February 22, 2023· Dunia
Popular
Skandal LCS: TLDM kalah bertempur sejak awal, kata bekas panglima
August 15, 2022
Bekas ketua hakim negara cemas di kandang saksi, lapor Bernama
April 12, 2021
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
MB Perlis cerai isteri talak satu
August 25, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok