
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan satu dua kawasan pada sebelah pagi di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pada hari mengundi pilihan raya negeri (PRN) enam negeri, esok.
Berdasarkan maklumat di laman web MetMalaysia, hujan turut diramal berlaku di Kedah bagi banyak kawasan pantai serta mendung di Terengganu namun cuaca baik diramal di Kelantan.
Selain itu, MetMalaysia juga meramalkan ribut petir berlaku pada sebelah petang di satu dua tempat di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah, satu dua kawasan pedalaman Negeri Sembilan serta beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu.
Suhu sepanjang hari berkenaan diramal 23 hingga 34 darjah Celsius.
Seramai 9.67 juta pengundi akan membuang undi esok di enam negeri manakala 122,160 orang layak mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) untuk Parlimen Kuala Terengganu.
Sebanyak 17,048 saluran mengundi disedia di 3,190 pusat mengundi di semua 245 kawasan DUN di enam negeri manakala untuk PRK Parlimen Kuala Terengganu 217 saluran mengundi disediakan di 41 pusat mengundi.