Masalah pengangkutan awam tiada kesudahan

June 27, 2022 · Isu semasa

Perkhidmatan pengangkutan awam yang baik membolehkan pengguna bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan mudah dan selesa.

Di negara ini, terdapat beberapa jenis pengangkutan awam.  Antara perkhidmatan pengangkutan awam yang popular ialah perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), bas dan teksi. Sejak dahulu lagi, kerajaan menyarankan orang ramai menggunakan pengangkutan awam dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di bandar-bandar sibuk.

Tidak dinafikan sistem pengangkutan di negara ini semakin berkembang maju dan semakin efisien sehingga menjadi pilihan ramai. Selain perkhidmatan bas dan teksi, ada komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), LRT, monorel dan transit aliran massa (MRT).

Namun, ramai merungut kerana perkhidmatan tersebut masih gagal mengatasi beberapa masalah walaupun ia bukanlah perkara baharu.

Sehingga kini, perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia dikatakan masih belum memuaskan hati pengguna.

Antara yang paling terkesan apabila kerap mengalami kerosakan sehingga menyebabkan pengguna menunggu lama, kadang kala sehingga sejam.

Bayangkan jika orang ramai sudah berada di ruangan menunggu di bahagian bawah tanah dengan kepadatan pengguna, boleh menyebabkan rasa panas dan sukar bernafas.

Berdasarkan kajian, didapati bahawa jumlah kenderaan awam di beberapa buah bandar di negara ini tidak mencukupi.  Di beberapa buah bandar kecil, hanya terdapat satu atau dua buah syarikat bas yang beroperasi.  Sela masa pergerakan antara sebuah bas dengan yang lain agak panjang disebabkan masalah kekurangan bas.

Keadaan ini menyebabkan pengguna sering berebut-rebut untuk menaiki bas agar mereka tidak ketinggalan.  Orang ramai pula ada yang sanggup menaiki teksi melebihi muatan yang dibenarkan agar mereka cepat sampai ke destinasi.  Selain tidak selesa, tindakan ini boleh membahayakan diri sendiri.

Keadaan fizikal sesetengah kenderaan awam, khususnya bas dan teksi didapati kurang sempurna.  Sesetengahnya tidak terurus dan tidak diselenggara dengan baik.  Kusyen beberapa buah bas pula didapati carik dan sesetengahnya tertulis dengan pelbagai tulisan yang berunsur lucah.

Kebersihan kebanyakan kenderaan tidak dijaga dengan baik.  Sistem pendingin hawa yang digunakan pula kadang kala tidak berfungsi.  Keadaan ini menyebabkan pengguna berasa tidak selesa menggunakan pengangkutan awam.

Kajian juga mendapati bahawa kebanyakan pengguna perkhidmatan awam yang ditemui menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tentang kadar tambang yang dikenakan. Kebanyakan pengguna bersetuju bahawa kadar tambang tidak sepadan dengan kualiti perkhidmatan

Menurut pengguna, sesetengah pemandu teksi tidak menggunakan meter dengan alasan alat tersebut rosak.  Segelintir kakitangan bas pula didapati kurang sopan apabila berurusan dengan penumpang.  Walaupun perkara ini tidak disenangi, namun pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan awam kerana tiada pilihan lain.

Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu memperketat penguatkuasaan undang-undang berkaitan usia kenderaan awam di jalan raya.  Kenderaan yang terlalu lama misalnya, yang melebihi usia 20 tahun haruslah ditamatkan permitnya.  Pengusahanya boleh diberikan bantuan kewangan untuk menggantikannya dengan kenderaan yang baharu.

Bantuan yang sama hendaklah diberikan kepada pemilik kenderaan awam yang didapati kurang elok.  Selain menjaga keselamatan pengguna, langkah ini penting untuk memberikan keselesaan kepada pengguna perkhidmatan tersebut.

Bagi mengatasi masalah kekurangan kenderaan awam, kerajaan seharusnya mengeluarkan lebih banyak permit bertujuan memperbanyakkan kenderaan awam.

Langkah ini penting untuk mengelakkan orang ramai berebut-rebut, terutama ketika menjelang musim perayaan.  Pertambahan pemilik kenderaan awam juga penting untuk mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pengusaha.  Impaknya, pengguna dapat membuat pilihan dan masalah kekurangan kenderaan dapat dikurangkan.

Dalam pada itu,  Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kadar peningkatan kesesakan di jalan raya sedikit sebanyak merupakan kesan daripada keberkesanan yang rendah terhadap penggunaan pengangkutan awam.

“Perkara itu terjadi kerana terlalu banyak masalah yang dihadapi oleh sesetengah perkhidmatan. Pengurusan perlu lebih peka serta memahami keperluan masyarakat.

“Dari segi kadar kekerapan (frekuensi) dan ketepatan masa sudah pasti perlu diambil kira memandang kebanyakan daripada mereka menggunakan perkhid­matan tersebut untuk ke tempat kerja,” katanya.

Menurut beliau, selain itu, aspek penyelenggaraan dan menaik taraf juga perlu dilaksanakan dengan menyeluruh supaya kualiti perkhidmatan diberikan berada pada tahap yang baik sekali gus menggalakkan lebih ramai orang untuk menaiki pe­ngangkutan awam

Justeru, kerajaan perlu memainkan peranan dalam memastikan kelemahan yang membelenggu perkhidmatan pengangkutan awam dapat diatasi segera.

Sementara itu, Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, cadangan sekumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung langkah untuk mengurangkan kesesakan jalan raya dengan melupuskan kereta berusia 10 tahun ke atas bukanlah sesuatu yang baharu.

Sebaliknya menurut beliau, ia sudah dilaksanakan di Jepun dan Singapura sejak sekian lama malah terbukti berkesan untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di negara tersebut.

“Bagaimanapun, bila bercakap dalam skop negara kita Malaysia, kita masih belum bersedia dari pelbagai sudut untuk melaksanakan cadangan tersebut.  Sebagai contoh, apa alternatif lain yang boleh ditawarkan kepada pemilik kereta lama.

“Jika di Jepun dan Singapura, mereka menyediakan sistem pengangkutan awam yang sangat efisien kepada rakyat namun kita masih belum mencapai ke tahap itu buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata, cadangan tersebut boleh dilaksanakan sebaik sahaja sistem pengangkutan awam di negara ini mencapai tahap terbaik, namun ia perlu dilakukan secara berperingkat.

“Ia boleh dilaksanakan apabila sistem pengangkutan awam sudah betul-betul efisien namun perlu dibuat secara berperingkat, sebagai contoh mulakan di Lembah Klang, Johor Bahru dan George Town, namun jika untuk melaksanakannya secara menyeluruh ia agak mustahil,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk meneruskan momentum pembangunan infrastruktur pengangkutan awam di negara bagi membolehkan cadangan tersebut dilaksanakan.

Berita berkaitan
Loke sahkan tiada diskaun saman JPJ akan diberikan
December 9, 2023· Isu semasa
Trafik sesak di lebuh raya utama
May 1, 2023· Isu semasa
Ujian teori lesen memandu vokasional PSV, GDL mansuh
April 10, 2023· Isu semasa
Enam stesen LRT diberhentikan operasi, baiki landasan
March 31, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
SPRM ambil keterangan kedua Menteri DAP: Laporan
April 19, 2023
Atasi segera isu pemerdagangan manusia
August 27, 2022
Ditipu pelaburan tak wujud, juruaudit rugi RM1.48 juta
October 12, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok