
Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mempertikai beberapa laporan media tempatan semalam yang menyebut tentang jangkaan harga barangan pengguna meningkat, Ogos ini.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu berkata jangkaan itu seolah-olah tindakan Nujum Pak Belalang yang menilik apa akan berlaku pada masa akan datang.
“Saya lihat laporan dalam beberapa media hari ini dalam bulan Ogos ini, harga barang naik 20 peratus. Macam mana dia tilik, dia rujuk, Nujum Pak Belalang ke dia ini, bulan Ogos harga akan naik,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama dan Jentera Pilihan Raya PKR bagi Dewan Undangan Negeri Batu Tiga di Shah Alam, malam tadi.
Ketua Penerangan PKR itu menjelaskan usaha dan ikhtiar kerajaan perpaduan berjaya menurunkan kadar inflasi yang dikaitkan dengan kenaikan harga barang daripada 3.3% pada April kepada 2.8% pada Mei.
“Suku pertama tahun ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang sangat rancak iaitu 5.6% dan kadar ini adalah lebih rancak dari China, Singapura dan Indonesia,” katanya.
Malah katanya dalam tempoh tiga bulan pertama 2023, kestabilan politik negara telah membantu membawa masuk pelaburan yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM71 bilion iaitu lebih tinggi berbanding RM44 bilion yang dicatat bagi tempoh sama pada tahun lepas.
Namun beliau turut membuat jangkaan jumlah pelaburan asing akan terus meningkat pada masa akan datang termasuk melibatkan pelaburan besar dari kerajaan Arab Saudi.