
Datuk Seri Hajiji Noor.
Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan sambutan Hari Sabah akan disambut buat julung kalinya pada 31 Ogos ini.
Ketua Menteri Sabah itu berkata sambutan tersebut sebagai tanda hari kemerdekaan negeri itu daripada penjajahan British 60 tahun lalu dan akan digilirkan di setiap daerah seterusnya selepas ini.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet negeri minggu lalu dan daerah Tambunan dipilih sebagai lokasi sambutan sulung itu.
“Kerajaan Negeri turut memutuskan sambutan yang menandakan sejarah penting Sabah itu diadakan pada setiap tahun dengan menggilirkan lokasi sambutan di setiap daerah.
“Marilah kita memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan British di Sabah dan bermulanya perjalanan kita bersama untuk berpemerintahan sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan laporan sejarah, Sabah diberi kebebasan oleh British untuk berpemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963.
Tarikh berkenaan serentak dengan ulang tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang keenam, selepas merdeka daripada British pada 31 Ogos 1957.
Selepas itu, Sabah kemudian sama-sama membentuk persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak pada 16 September 1963.
Hajiji berkata, sambutan di Tambunan bermula pada jam 3 petang selepas sambutan Hari Kebangsaan di Kota Kinabalu.
Sebelum ini, Sarawak turut mengisytiharkan hari kemerdekaannya pada setiap 22 Julai.