Empat lagi saksi akan dipanggil dalam perbicaraan 1MDB dihadapi Najib

August 30, 2023 · Isu semasa

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini ia akan memanggil sekurang-kurangnya empat lagi saksi untuk memberi keterangan termasuk bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata selain Loo, tiga lagi saksi adalah penganalisis Bank Negara Malaysia, dua pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika hakim perbicaraan Datuk Collin Lawrence Sequerah bertanya kepada pihak pendakwaan berapa ramai lagi saksi yang akan dipanggil sekiranya saksi pendakwaan ke-46 iaitu bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz selesai memberi keterangan.

Pada 12 Julai lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Loo telah ditahan oleh polis pada 7 Julai untuk membantu siasatan berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Hari ini, peguam utama Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa beliau mahu menangguhkan pemeriksaan balas ke atas Zeti.

Beliau membuat permohonan itu (tangguh pemeriksaan balas) selepas Zeti memberi keterangan bahawa beliau bertemu bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank Ashok Ramamurthy sekali, selepas beliau mengambil alih jawatan itu, apabila Cheah Tek Kuang (bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank) memperkenalkan kepadanya semasa kunjungan hormat.

Zeti menafikan dakwaan Muhammad Shafee bahawa Ashok telah menghantar kepadanya kemas kini mengenai akaun Najib.

Beliau mengulangi keterangannya sebelum ini bahawa beliau telah memaklumkan kepada Cheah semasa pertemuan pertama mereka pada 2011 bahawa apa-apa berkaitan dengan akaun Najib harus ditujukan kepada timbalan gabenor BNM ketika itu.

Pada ketika ini, Muhammad Shafee membuat permohonan kepada Hakim Sequerah untuk meminta kenyataan yang didakwa direkodkan oleh SPRM daripada Ashok di Singapura.

Peguam itu kemudian berkata beliau mahu pemeriksaan balas ke atas Zeti dihentikan, sementara menunggu permohonannya.

“Yang Arif, saya ingin menyoal pegawai penyiasat berhubung kenyataan yang didakwa ini. Saya juga mahu memanggil semula Cheah,” katanya.

Susulan itu, Ahmad Akram mencelah dengan berkata tiada kenyataan “secara rasmi atau tidak rasmi” yang beliau tahu ketika ini kerana Ashok bukanlah seorang daripada saksi yang dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan itu.

Hakim kemudian meminta Zeti untuk hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan kemudian.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Popular
Hakim diberi pilihan guna budi bicara dalam hukuman mati: PM
June 10, 2022
NGO desak tanah rizab Melayu dikembalikan di Sitiawan, pertikai langkah pindah milik
September 26, 2023
Waktu operasi pejabat Imigresen keluar pasport diubah mulai 15 Ogos
August 12, 2022
Skandal LCS: TLDM kalah bertempur sejak awal, kata bekas panglima
August 15, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok