
Bank Negara Malaysia (BNM).
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 susulan permintaan domestik yang kukuh, disokong oleh pemulihan keadaan pasaran pekerja serta sokongan dasar yang berterusan.
Dalam kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyifatkan peningkatan pertumbuhan itu mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa, lapor Bernama.
“Eksport terus disokong oleh permintaan kukuh bagi produk elektrikal dan elektronik (E&E). Dari segi sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan,” kata BNM.
Menurut bank pusat itu, walaupun keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat disebabkan sebahagiannya oleh asas rendah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Jun 2021, pertumbuhan bagi April dan Mei 2022 sebaliknya menunjukkan prestasi yang kukuh.
“Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5 peratus berbanding 3.8 peratus pada suku pertama 2022,” katanya.