
Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Nilai ringgit diakui mengalami penyusutan sejak kebelakangan ini dan faktor luaran antara penyumbang kepada keadaan tersebut, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri itu bagaimanapun memaklumkan langkah sudah diambil untuk berdepan penyusutan nilai mata wang tempatan itu ekoran pengukuhan mendadak dolar Amerika Syarikat (AS), kadar faedah AS lebih tinggi, serta keadaan ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan.
Antaranya, kejelasan dasar-dasar termasuk ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dapat membantu dalam menarik pelaburan dan mengukuhkan kedudukan nilai ringgit, kata Anwar.
Oleh itu, kebanyakan mata wang dunia telah mengalami penurunan nilai bagi tahun 2023 dan penyusutan nilai ringgit adalah berikutan tindakan Rizab Persekutuan AS yang menaikkan kadar faedah.
“Nilai ringgit tidak bergantung kepada fundamentals (asas-asas) seperti pertumbuhan (ekonomi) yang baik, pelaburan baik, inflasi turun atau kadar pengangguran turun, malah nilai ringgit susut juga tidak selari dengan dasar ekonomi yang diperkenalkan kerajaan.
“Dengan hanya menguatkan ekonomi tempatan dapat meningkatkan nilai ringgit dan kita mengambil pendekatan supaya tidak menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) dengan pertimbangan peningkatan nilai dolar AS semata mata,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai keberkesanan langkah kerajaan dalam menangani impak kejatuhan nilai ringgit yang semakin menyusut sehingga mencecah paras RM4.73 berbanding dolar AS.
Sementara itu, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah melaksanakan langkah-langkah jangka masa pendek bagi memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.
Anwar berkata untuk menangani kemeruapan (volatility) pasaran pertukaran asing, BNM akan terus menguruskan risiko-risiko dari perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur.
“Beberapa langkah diambil oleh Bank Negara, umpamanya menetapkan eksport itu dengan ringgit. Manakala dalam beberapa persidangan saya berbincang dengan negara China dan juga di ASEAN di Jakarta meminta supaya kita menggunakan nilai mata wang tempatan untuk berdagang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata menerusi insiatif Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF), Malaysia mempunyai pengaturan LCSF bersama Indonesia dan Thailand.
Beliau berkata Malaysia juga antara negara pertama yang memeterai perjanjian pengaturan mata wang dengan People’s Bank of China (PBC) pada 2009.
Beliau menjelaskan bahawa perjanjian itu memudahkan lagi penggunaan mata wang renminbi dan ringgit bagi tujuan pembayaran perdagangan dan pelaburan di antara China dan Malaysia.
Selain itu, Perdana Menteri mengakui untuk menghentikan sepenuhnya penggunaan dolar AS secara mendesak dalam perdagangan ketika ini adalah sukar, namun Malaysia lebih aktif dan agresif menekankan keperluan kegunaan mata wang tempatan,” tambahnya.