Dalam tempoh enam bulan KWSP raih RM34.05 bilion

September 24, 2021 · Isu semasa

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM34.05 bilion untuk separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2021 (1H 2021), peningkatan sebanyak RM6.79 bilion atau 25 peratus, berbanding RM27.26 bilion bagi tempoh yang sama pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku tahun kedua (S2 2021) adalah RM14.77 bilion, RM0.35 bilion lebih rendah daripada RM15.12 bilion yang dicatatkan pada suku tahun yang sama tahun lalu.

Katanya, ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan untuk S2 2021, sebanyak RM7.89 bilion, yang merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

“Sebagai polisi untuk mengekalkan portfolio yang sihat, KWSP telah mengamalkan turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai. Turun nilai kos pada S2 2021 adalah sebanyak RM0.21 bilion berbanding RM1.66 bilion untuk suku tahun yang sama pada 2020, berikutan pemulihan pasaran global yang berterusan.

“Setelah mengambil kira turun nilai kos ini, sejumlah RM14.56 bilion pendapatan pelaburan bersih telah dicatatkan pada S2 2021[1], iaitu 8% lebih tinggi daripada RM13.46 bilion yang dicatatkan pada S2 2020.

“Prestasi kukuh yang dicapai oleh KWSP pada 1H 2021 ini adalah dipacu oleh pemulihan progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas-kelas aset yang lain, tatkala pasaran global mengalami kebangkitan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amir Hamzah berkata pelaksanaan program vaksin Covid-19 yang sedang giat dijalankan, di samping pembukaan semula sektor ekonomi, telah meningkatkan prestasi ekuiti di pasaran maju.

Bagaimanapun, katanya, prestasi ekuiti di pasaran baru muncul adalah lebih lembab berikutan peningkatan kes Covid-19 di beberapa negara di Asia Tenggara, dan disusuli pula oleh kejatuhan harga saham yang ketara akibat tindakan pihak berkuasa China yang mengetatkan peraturan ke atas sesetengah sektor.

Instrumen Pendapatan Tetap terus menyumbang pendapatan yang stabil sebanyak RM5.28 bilion, atau 36 peratus, kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada S2 2021. Ini adalah lebih rendah berbanding RM6.17 bilion yang dicatatkan pada S2 2020, berikutan pengurangan keuntungan dagangan, selaras dengan kadar faedah yang lebih tinggi pada S2 2021, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Hartanah dan Infrastruktur, dan instrumen Pasaran Wang, pula masing-masing mencatatkan pendapatan RM1.40 bilion dan RM0.20 bilion.

Kepelbagaian pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan menyumbang nilai tambah kepada pulangan keseluruhan.

Setakat akhir Jun 2021, aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM989.14 bilion, yang mana 37 peratus adalah pelaburan di luar negara. Pada S2 2021, pelaburan luar negara telah menjana pendapatan sebanyak RM8.71 bilion, iaitu 59% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan.

“Bagi membantu ahli yang terkesan oleh pandemik, KWSP telah melancarkan kemudahan i-Sinar dan i-Citra yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan ahli. Setakat ini, sebanyak RM67.6 bilion telah dikeluarkan.

“Sekitar 89 peratus pemohon i-Sinar dan 86 peratus pemohon i-Citra telah menyatakan bahawa pengeluaran yang dibuat telah digunakan untuk menampung perbelanjaan harian atau keperluan kewangan yang mendesak,” katanya.

Mengenai prospek sehingga akhir 2021, Amir Hamzah mejelaskan untuk separuh tahun 2021 berikutnya, keberkesanan usaha pemulihan negara adalah bergantung kepada perkembangan situasi Covid-19 dalam masa terdekat ini.

“Walaupun kami yakin bahawa pakej rangsangan dan inisiatif Kerajaan akan dapat membantu meningkatkan sentimen perniagaan dan permintaan dalam negeri, kami amat bimbang dengan keselamatan persaraan rakyat, terutamanya apabila 46 peratus ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka.

“Pandemik ini telah mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus kepada 27 peratus, susulan daripada pengeluaran yang telah dibuat bagi menampung pendapatan mereka semasa krisis Covid-19 ini.

“Pandemik ini juga telah mencetuskan peningkatan jumlah pekerja gig di negara ini, dan biarpun ia membantu mereka untuk bertahan, ramai yang berhadapan dengan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan akibat pendapatan yang tidak tetap atau stabil. Selain itu, manfaat pekerja dan liputan perlindungan sosial mereka juga bakal terjejas,” katanya.

Kesannya bukan sahaja terhadap kesejahteraan masa depan pekerja, malahan akan membebankan pihak Kerajaan. Strategi utama KWSP di masa hadapan adalah untuk memastikan pekerja gig serta mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk diserap ke dalam Skim KWSP agar mereka juga berpeluang menabung seawal mungkin dan merancang persaraan mereka.

“Ketika kita sedang pulih daripada krisis, fokus KWSP adalah untuk membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka agar mereka memperoleh persaraan yang bermaruah.

“Kami akan tetap fokus kepada Alokasi Aset Strategik kami dan sentiasa peka terhadap perkembangan profil risiko pasaran agar penambahbaikan dapat dilakukan. Di samping itu,matlamat asas KWSP untuk menjana pulangan dan melindungi kesejahteraan masa depan ahli dapat dipenuhi,” jelas beliau lagi.

Berita berkaitan
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024· Isu semasa
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Radzi arah KSU lapor SPRM dakwaan Zaharin
October 17, 2022
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024
Baik buruk media sosial
March 26, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok