Covid-19: Tujuh negeri, WP rekod sifar kematian semalam

Tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan (WP) – Perlis, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Labuan, Putrajaya dan Terengganu – mencatat sifar kematian dalam tempoh 24 jam semalam.

Hanya dua negeri merekodkan peningkatan kes kematian iaitu Sarawak mencatat 14 pesakit meninggal dunia semalam berbanding satu kematian kelmarin, manakala di Melaka, tujuh kematian direkodkan semalam berbanding lima kelmarin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman web COVIDNOW memaklumkan jumlah kematian dalam tempoh 24 jam semalam adalah sebanyak 116 kes, turun mendadak selepas melonjak dua hari berturut-turut pada Khamis dan Rabu.

Jumlah kematian semalam, termasuk 29 pesakit meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID), menjadikan kumulatif sejak Mac tahun lalu sebanyak 24,681 kes kematian.

Statistik KKM juga menunjukkan jumlah kematian di Selangor turun mendadak daripada 178 kes pada Rabu, kepada 33 kes semalam. Namun, negeri itu kekal mencatat kes tertinggi kematian setakat ini.

Kes aktif

Seiring dengan peningkatan kes sembuh yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam membabitkan 16,628 pesakit, jumlah kes aktif juga semakin berkurangan kepada 198,284 kes, berbanding 201,274 kes yang direkodkan pada Rabu.

Daripada jumlah itu, 165,421 pesakit Covid-19 menjalani kuarantin kendiri di rumah (turun daripada 168,258 pesakit pada Rabu); 21,359 ditempatkan di PKRC (21,581 pada Rabu); dan 10,396 dirawat di hospital (meningkat berbanding 10,321 pesakit pada Rabu).

Seramai 1,117 pesakit, termasuk 615 yang memerlukan bantuan alat pernafasan dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Pada Rabu seramai 1,114 pesakit dirawat di ICU.

Daripada jumlah kes aktif yang dirawat di hospital, Johor merekodkan 1,857 pesakit diikuti Selangor (1,633); Sabah (1,149); Sarawak (938); Kelantan (895); Perak (762); Pulau Pinang (644); Kedah (570); Pahang (462); Kuala Lumpur (428); Terengganu (352); Melaka (263); Negeri Sembilan (214); Perlis (160); Putrajaya (64); dan Labuan (lima pesakit).

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)

Jumlah individu dewasa di seluruh Malaysia yang melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sejak PICK dilancarkan Februari lalu hingga semalam mencecah 81.8 peratus atau 19,180,397 penerima.

Melalui perkongsian statistik dalam laman web COVIDNOW hari ini, 93.4 peratus atau 22,481,986 individu dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Secara keseluruhan, sehingga semalam hampir 41.6 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan, termasuk vaksin dos tunggal Cansino.

Semalam sahaja sebanyak 326,612 dos suntikan diberikan kepada 132,562 penerima dos pertama dan 194,050 individu yang lengkap divaksinasi.

Sementara itu, dalam kalangan remaja pula sehingga semalam, 19.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan, manakala 0.8 peratus lagi lengkap divaksinasi.

Mengenai jenama vaksin yang diberikan, KKM memaklumkan 47.2 peratus melibatkan vaksin jenis Pfizer, 44.6 peratus (Sinovac), 8.0 peratus (AstraZeneca), dan 0.2 peratus (Cansino).

Kadar Rt

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 23 September 2021 untuk seluruh negara adalah 0.90.

Pahang merekodkan Rt tertinggi iaitu sebanyak 1.05 dan Perlis (1.01), sementara negeri-negeri lain mencatat Rt antara 0.85 dan 0.99.

Statistik 23 September 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR