
MAQIS Pulau Pinang merampas 20,736 tin produk daging babi yang diisytiharkan produk ikan Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara, Pulau Pinang.
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 20,736 tin produk makanan ikan yang sebenarnya adalah produk daging berasaskan babi dari China.
Rampasan itu dilakukan Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara, Pulau Pinang, Februari lalu.
Taktik mengisytiharkan daging babi sebagai ikan terbongkar apabila pegawai Maqis mengesan produk berkenaanketika melakukan pemeriksaan rutin.
Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkatapihaknya menyita 864 kotak produk berasaskan daging babi yang dilabel produk makanan ikan.
“Pemeriksaan lanjut di makmal ke atas produk seberat kira-kira tujuh tan yang diimport dari China itu kemudiannya disahkan oleh Jabatan Kimia merupakan produk daging babi.
“Sehubungan itu, produk bernilai RM326,592 tersebut telah disita kerana dibawa masuk menggunakan maklumat palsu dan mengelirukan.
“Kita turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM16,000 kepada syarikat pengimport mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya memetik laporan BH.
Muhammad Ikram berkata rampasan produk makanan yang ditinkan seberat 7,050.24 kilogram dianggarkan bernilai RM326,592 itu diimport tanpa permit menggunakan maklumat palsu dan mengelirukan.
Berdasarkan rekod syarikat pengimport terbabit didapati kali pertama melakukan penyeludupan seumpama itu dan telah dikenakan kompaun sebanyak RM16,000.
Muhammad Ikram berkata, aktiviti import produk babi dari China dilarang keras kerana negara itu terjejas teruk dengan penularan wabak Demam babi Afrika atau African Swine Flu (ASF) dan dikhuatiri menjejaskan industri penternakan babi dan produk hasilan babi di negara ini.
“Antara produk yang berisiko dalam penularan virus ASF ialah babi hidup selain produk makanan seperti babi salai, sosej babi, babi yang ditinkan atau sebagainya.
“Produk sitaan yang dilucut hak itu akan dijangka akan dilupuskan dalam masa terdekat kira-kira dua minggu lagi dengan cara menggunakan teknologi insinerator,” katanya.
Perbuatan mengimport dengan mengemukakan maklumat palsu dan tidak tepat adalah kesalahan mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.